RAMADAN MILIK BONDA NAN GERING

 

TUHAN sahaja yang tahu betapa luluhnya hati melihat tubuh bonda yang terbaring sedang kering disedut usia. Mendung bilik bonda yang tertutup jendelanya  itu sedang dihurung oleh bau yang menggigit hidung. “Bonda muntah?” Sapa saya sambil melihat baldi di sudut katil yang sedang berair. Saya mendekat saat kelopak mata bonda tertutup rapat namun jari kirinya bergerak menggentel tasbih. 

“Bila sampai?” Hangat tubuh saya di sisi bonda mengejutkan tubuh bonda yang lemah. Rona wajah bonda yang pucat segera cerah dengan senyuman. “Mana Insyirah?” Tanya bonda lagi mencari cucunya dengan bebola mata yang semakin membesar.  “Insyirah tak ikut, anakanda singgah sekejap sahaja.  Anakanda ada tugas di Kelantan.”  Tambah saya menyandarkan tubuh bonda dengan bantal. Sudahlah mata bonda semakin kehilangan cahaya, telinga bonda bagai tidak mengimbas suara.

“Bonda sakit perut. Tekak loya, kepala bonda pening.” Adu bonda setelah simpati melihat saya menukar baldi dan mengelap muntah bonda yang tumpah di kaki katil. Air mata saya turut tumpah dek terkenangkan kasih bonda. Tidak pernah kedengaran rungut saat membersihkan muntah dan najis anak-anaknya sewaktu kecil. Sungguh, betapa kecilnya sumbangan kami anak-anak. Tak terbanding kasih sayang kami yang tertumpah kepada bonda.  Saat bonda sakit, tiada siapa di sisi menumpang simpati. Setiap kali kami sakit, bonda tidak pernah diam ikhtiarnya mendemah tubuh anak-anak setiap minit. 

“Hari ini Khamis, bukan? Masih Rejab lagikah?” Teka bonda. “Sayangnya bonda terlepas puasa.” Sesal Bonda tak sudah. “Hari ni dah Sabtu, Bonda.” Saya membetulkan tekaan bonda sesudah terasa disindir dengan amal bonda biarpun sakit. Seperti biasa, saya menyalahkan kesibukan hingga terabai segala amalan. “Bonda, kita sudah semakin hampir ke pertengahan Sya’ban!” Tambah saya lagi.

 “Ya Allah, sempatkah hayat bonda bertemu Ramadan?” Risau bonda melebihi keupayaan tubuh dan sakit yang sedang dideritainya. “Insya-Allah, andai tertulis, Ramadan itu milik bonda, kita akan sama-sama raikannya!” Pujuk saya dengan sebak yang membuak-buak.

“Sekejap lagi, belikan bonda pil Chi Kit Teck Aun.” Sesudah terdiam lama, saya meninggalkan bonda dengan gopoh-gapah demi memenuhi hajatnya dan membawa segala hajat bonda agar dipanjangkan nyawa dan kesihatannya ke hadrat ihsan Tuhan. Sempat saya menimbang uncang iman. Terasa uncang iman saya semakin koyak sedang isi pahala amalnya semakin ringan.  Doakanlah bonda saya.

8 thoughts on “RAMADAN MILIK BONDA NAN GERING

  1. Terima kasih, sahabat.
    Mendoakan sahabat antara saat yang makbul. Moga doa tuan didengari Tuhan.

  2. Ustaz bertuah kerana masih diberi peluang untuk berbakti kepada bonda tercinta, saya hanya mampu menghadiahkan doa setiap kali selepas solat untuk arwah bonda dan ayahanda tercinta. Rindu yang membuak-buak hanya Allah sahaja yang tahu!

  3. Kanda Kujie, terima kasih atas kunjungan.
    Terima kasih atas pesan nasihat yang menyejukkan dan menenangkan.

  4. Kata Ustaz: jangan lupa doakan sahabat2 kita sentiasa, Kata Saya: insyaallah kami takan lupa doakan Untuk Ustaz Dan Bonda Sekeluarga,Ya Allah, kami mohon pastikan Ramadhan ini milik Bonda Sekeluarga dan berikanlah Bonda ini Kesembuhan~amin~

  5. Salam kunjungan Ummu Syakirin,
    Terima kasih atas ingatan yang menyentuh rasa. Moga Ramadan melimpahkan kebaikan untuk keluarga kita semua.

  6. akan saya doakan jua buat bonda ustaz.walaupun saya bukan seorang bonda,saya tetap yakin sesiapa jua yang berdoa tentang yang baik-baik,doanya akan dimakbulkan.sebak.akan susuri Ramadan yang pertama kalinya TANPA seorang BONDA.

  7. Allahumma,
    Moga Ramadan tuan, kali ini diringi dengan gandaan amal dengan sepikul sabar. Moga tempiasnya tercurah ke sisi bonda tercinta.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s