KENANGAN RAMADAN VERSI PENUH

SETIAP KALI HADIRNYA RAMADAN, desa perbukitan al-Mazar al-Janubi, Mu’tah, daerah pedalaman di selatan Jordan itu kerap benar menggamit ingatan. Ramadan tidak pernah gagal membawa angin rindu yang merusuh dan limpah sebak yang membuak-buak dek berjauhan dengan keluarga namun segera dipujuk oleh kelibat kubah sahabat-sahabat Nabi yang disemadikan di puncak desa itu.

Ketiga-tiga maqam sahabat Nabi; Ja’far al-Toyyar, Abdullah bin Rawahah dan Zaid bin Harithah yang syahid dalam perang Mu’tah itulah yang kerap menjadi dispensari merawat kesedihan dipancung oleh rindu kejauhan. Teringat saya, bahawa ketika itu, apa sahaja halangan di perantauan, kegigihan merekalah menjadi jarum menenun semula semangat yang kadang-kadang rabak dan tercarik oleh kejauhan.

Seingat saya, Ramadan menjadikan kami kreatif mencipta menu berbuka dan bersahur sesuai dengan lidah Melayu. Pernah sekali ketika rindukan kari, kelapa parut kering yang biasanya digunakan untuk membuat kuih menjadi ganti santan. Lada kering yang digiling diramukan dengan serbuk kunyit menjadi ganti rempah kari. Aromanya cukup memujuk rasa rindukan air tangan bonda.

Biarpun kuah karinya lemak serta pekat dengan serdak kelapa, tiada siapa yang menolaknya. Kami suap juga nasi dengan rela. “Kenapa tidak hancurkan dahulu dengan pengisar?” Komen juri awam yang merungut tak sedap perut. Memang melucukan melihat rakan-rakan ada yang tersedak makan.

Bukan sahaja kari yang menjadi bahan uji, sejenis hidangan tradisi Arab yang dinamai sebagai “Qatayef” atau “Qata’if” (seakan-akan kulit apam balik namun saiznya lebih kecil) turut ditransformasi menjadi karipap berintikan kentang. Tanpa pengetahuan rakan-rakan, saya olahkan semula dengan lebihan kuah kari ketika bersahur. Kadang-kadang “Qatayef” bertukar juga menjadi apam balik berintikan kacang dan gula sebagai menu pagi Syawal. Tahun pertama di Jordan, kami pernah menjadikan daging arnab sebagai sate. Tak sampai hati untuk menyembelih dan melapah daging arnab. Tugasnya kami serahkan kepada Pak Arab yang menjual. Malangnya terlupa merendam daging Arnab dengan rempah kunyit menyebabkan dagingnya masih kemerahan pada paginya.

Perut yang lapar jarang membuka mulut rakan-rakan untuk banyak bertanya. Setiap kali rakan-rakan juri yang gatal bertanyakan sumber resepi Melayu-Arab itu, pantas saya memetik kata-kata Syeikh Abu Bakar al-Syibli: “Setiap kali aku melaparkan perutku, pintu hikmah terbuka bagiku.” Kemudian saya tambah pula dengan pesan Yazid al-Bistami seorang ahli tasauf: “Perut yang lapar akan membasahkan hati dan mencurahkan hujan hikmah. Bukankah lapar memancarkan kearifan dan kenyang melahirkan kedunguan.”

Seingat saya, kejauhan atau rindukan menu tidak pernah menjadi beban. Ia hanya asam garam seorang pejuang. Sedikit sangat diuji tidak terbanding dengan darah yang tumpah di medan Mu’tah.

“Ja’far al-Toyyar, Abdullah bin Rawahah, Zaid bin Harithah dan para sahabat tidak datang dengan perut kenyang ke medan Mu’tah. Malah ramai yang mengikat perut, pecah bibir dan luka kaki ke medan dingin bersalji. Lapar itulah yang mengikat nafsu dan memenangkan jihad. Sedang kenyang ialah musuh yang tumbang bersemadi di perut lahad!” Kemudian saya menambah dengan muhasabah.

 

4 thoughts on “KENANGAN RAMADAN VERSI PENUH

  1. Akhi Jamal,
    Salam Ramadan. Terima kasih kerana mengikuti perkembangan karya-karya saya. Ada sebuah novel baharu yang sudah siap. Cuma sedang ditambah baik lagi. Harap-harap Akhi Jamal sudah memiliki kelima-lima buah karya saya yang sudah terbit dengan DBP dan PTS Publication.

  2. Alhamdulillah. Sehingga kini kedua-dua karya ustaz yang diterbitkan PTS sudah saya miliki. Cuma terbitan DBP sahaja yang agak susah ditemui di pasaran.

  3. Salam Zul,
    Terima kasih atas sokongan. Kalau Zul nak, saya poskan. Harga jangan bimbang. Menguntungkan Zul, pastinya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s