CAHAYA CINTA SI ‘BUTA’

PAGI 10 SYAWAL ini, saya menerima e-mel daripada seorang sahabat dari Pulau Pinang. Beliau berkongsi sebuah kisah menarik tentang seorang lelaki yang buta al-Quran yang dinaqalkan daripada seorang penceramah sewaktu tazkirah Ramadan di Masjid Sultan Zainal Abidin Kuala Terengganu. Dengan sedikit penambahbaikan saya kemukakan semula versi cerita mengusik nubari ini.

Diceritakan, seorang lelaki melewati sebuah kawasan perkuburan pada suatu malam yang kelam dan sunyi. Tiba-tiba lelaki itu terpandang suatu cahaya yang terang benderang muncul dari sebuah kubur dan cahaya itu terus menjulang ke langit. Dia memandang dengan sedikit ketakutan dan berdebar sambil terpegun dan kaku melihat kejadian itu. Lelaki itu terfikir kemungkinan kubur ini adalah milik seseorang yang sangat istimewa. Barangkali dia seorang waliyullah atau ulama atau orang soleh yang istimewa kedudukannya di sisi Tuhan. Lalu lelaki itu mengambil sebatang kayu dan dipacaknya di atas kuburan yang bercahaya itu.

Keesokan harinya, lelaki itu datang lagi ke kawasan perkuburan itu, kali ini ditemani oleh orang kampung. Beliau ingin menyelidik dan ingin mengetahui, kubur siapakah yang sangat ajaib itu. Apakah ia milik seorang tuan guru atau waliyullah atau alim ulama atau orang soleh yang terkenal? Bila ditanyakan kepada orang kampung, masing-masing kehairanan kerana apa yang mereka ketahui dan pasti bahawa kubur tersebut dihuni oleh seorang lelaki tua. Lelaki tua itu pernah mendiami sebuah pondok di hujung kampung bersama-sama isterinya. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, lelaki itu berkunjung ke rumah si mati dan bertemu dengan isteri si mati lalu menceritakan keajaiban yang dilihat di perkuburan suaminya.

Anehnya, isteri si mati sendiri terkejut dan hairan mendengar. Wanita tua itu sangat mengenali suaminya. Sebenarnya, suaminya itu bukanlah lelaki yang disangkan oleh mereka. Suaminya hanya seorang petani kecil. Bukan seorang kiyai, bukan seorang ahli ibadat, bukanlah seorang lelaki yang soleh. Malah bukan juga seorang imam, muazin atau guru al-Quran. Malah lebih menghairankan lelaki itu, si mati itu juga tidak pandai membaca al-Quran dan dia sendiri tidak pernah mendengar suaminya membaca al-Quran. Hal demikian itu, benar-benar menimbulkan kehairan kepada lelaki tersebut dan isteri si mati sendiri.

Lelaki itu kemudiannya bertanya lagi kerana masih tidak puas hati. “Adakah si mati pernah melakukan perkara-perkara yang aneh dalam kehidupan sehari-harinya?” Lama isteri si mati itu terdiam, kemudian barulah beliau teringat akan suatu perkara yang selalu dilakukan oleh si mati, setiap kali sebelum tidurnya pada setiap malam.

Setiap malam sebelum tidur, suaminya akan mengambil wudhu, kemudian masuk ke dalam suatu bilik lalu diambilnya al-Quran di atas rak, dicium dan dipeluknya dengan penuh kecintaan dan kasih sayang. Arwah akan duduk dan membelek al-Quran itu sehelai demi sehelai seperti sedang membaca, sedangkan beliau seorang yang buta al-Quran. Dia akan meraba-raba ayat-ayat al-Quran itu dengan tangannya, seolah-olah sedang menyentuh dan membelai sesuatu yang sangat dikasihi. Tambah isteri si mati lagi, dia pernah mendengar rintihan dan esak tangis suaminya yang sangat sedih, mendayu-dayu dengan penuh penyesalan. Jawab wanita tua itu.

“Tuhanku, ampunkanlah dosaku kerana aku tidak mampu membaca kalimah-Mu. Janganlah engkau hukum aku di atas kebodohanku ini.” Rayunya dengan titisan air mata.

“Wahai Kalam Allah, maafkanlah kesalahanku. Aku tidak mampu membaca kalimahmu. Aku tidak dapat bersahabat denganmu. Aku tidak dapat memahamimu tetapi aku sangat mengasihimu. Aku sangat mencintaimu.”

“Wahai Kalamullah, janganlah engkau mendakwa aku, jangan engkau menuduh aku di hadapanTuhan di akhirat nanti”. Cerita isteri si mati lagi. Kadang-kadang suaminya tertidur di dalam bilik itu ditemani al-Quran buah hati kesayangannya. Begitulah suaminya setiap malam sebelum tidur.

Lelaki itu kemudiannya meminta untuk melihat al-Quran kesayangan suaminya itu. Benar dan sangat mengharukan apabila beliau melihat mashaf yang mulia itu kelihatan lusuh, helaian-helaiannya kelihatan berbekas kerana selalu dibelek berkali-kali. Dan sangat ketara, ada kesan-kesan air mata di kertasnya, tanda beliau sering menangis dengan juraian air matanya tatkala membuka lembaran al-Quran yang suci ini.

Di hujung e-mel itu, sahabat saya menulis dengan sedikit koreksi diri:

Pastinya arwah sangat mulia peribadinya. Hatinya telah bersatu dengan ruh al-Quran. Dia sangat mengasihi kalimah Tuhan dengan sesungguhnya. Bererti, dia mengasihi Tuhan dengan seluruh jiwa dan raganya.

Marilah kita menghidupkan al-Quran baik di masjid, di rumah dalam diri kita, sepanjang masa bukan pada bulan Ramadan semata-mata. Kisah ini juga bukanlah bererti; berhenti daripada belajar al-Quran dan juga bukan bererti; galakan kepada tidak membaca al-Quran, tetapi moral utamanya ialah meletakkan keikhlasan terhadap al-Quran dan ikhlas beramal kerana Allah.

Bayangkan orang yang membaca, mengajar dan mengamalkan isi kandungan al-Quran dengan setepu ikhlas kerana Allah, mulianya tentulah lebih daripada lelaki yang buta di dunia, namun terang di kuburan. Mari kita ‘celik’ al-Quran di dunia, terang di kuburan dan bercahaya dengan cinta Tuhan di akhirat. fikir-fikirkanlah. – al-Kurauwi

 

2 thoughts on “CAHAYA CINTA SI ‘BUTA’

  1. Salam Rayyan,
    Salam Syawal. Ya, masih lunak didengar bila ‘buah hati’ itu sudi dibawa ke mana-mana. Ada yang sengaja meninggalkannya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s