BELASUNGKAWA CIKGU ZUL

WAJAHNYA masih terbayang-bayang biarpun sudah 26 tahun meninggalkan sekolah rendah di lereng bukit itu. Wajahnya putih bersih dan bertahi lalat kecil. Sudah terlupa duduk letaknya tahi lalat pemanis wajah itu. Memandangnya tidak terlalu tinggi seperti Cikgu Salim dan Cikgu Nasaruddin, guru hoki kami. Tubuhnya sedang, tidak terlalu kurus macam Cikgu Bakri, guru bahasa Inggeris kami yang mengenalkan kami setiap petang akan papan caturnya. Suaranya tidak tinggi, bila menegur muridnya. Lembut bagai seorang ayah menyuntik semangat ke dada kami, anak muridnya.

Masakan saya boleh lupa Cikgu Zulkifli yang kami sayangi. Dialah yang mengenalkan ilmu sains ke telinga kami. Bereksperimen dengan benih kacang hijau di rumah hijau di antara dua bangunan sekolah. Setiap pagi, kami teruja melihat benih kacang hijau bercambah akhirnya membesar kemudian layu dan mati.

“Itulah kehidupan. Hidup dan mati itu masakan boleh dipisahkan!” Beliau mengajar kami akan Tuhan dalam sainsnya.

Saya sering diminta mengambil buku latihan muridnya di kuartesnya. Kadang-kadang saya bertemankan Azman Ariff, kadang-kadang dengan Sambri, pernah juga berdua dengan Othman merentas padang sekolah ke rumahnya. Saya tidak pernah ponteng

“Kalau penat, nasi ada di bawah tudung, makan dulu!” Pesannya masih terngiang-ngiang di telinga.

“Kalau dahaga, air oren dalam peti ais, minum dulu!” Suaranya masih terlaung di telinga.

 “AL-FATIHAH buat arwah cikgu saya yang pernah mengajar di Sekolah Rendah LKTP Felda Purun dahulu, telah pergi meninggalkan kita semua semalam, 27 September 2012. Arwah Cikgu Zulkifli yang juga bertemu jodoh dgn anak peneroka Felda Purun juga. – Pesan Aznida Di Facebook, pagi Jumaat ini.

Dalam ngiangan suaranya, spontan saya menulis: “Innalillahi wainna ilaihi raji’un. Ya Allah, Engkau cucurkanlah rahmat kepada guruku, Cikgu Zulkifli seperti rahmat yang Engkau turunkan kepada kami dengan berkat doa seorang guru. Ya Allah kasihilah dirinya seperti dia mengasihi kami sewaktu kami kecil lagi. – al-Kurauwi

JEMPUTAN DARI DINDING HATI

SUATU PETANG, jiran dekat yang hanya dipisahkan oleh empat buah rumah, menunjukkan muka dingin di anjung surau. Salam saya, disambutnya membelakang sedang wajahnya menghadap jalan. Tangan saya, tidak digenggam sungguh-sungguh. Saya menyangka dia bergurau. Dia serius, rupanya. Sebelum langkahnya jauh meninggalkan anjung surau segera saya bertanya perubahan air mukanya.

“Tak patut ustaz, menolak jemputan saya ke rumah. Dahlah ustaz tak datang, yang datangpun boleh dibilang” Dagunya saya lihat panjang dengan rajuk. Dahi saya berkerut. Akal saya pantas membelek diari jemputan. Ah, masakan saya tersilap hari bulan.

“Laa, bila majlisnya?” Saya menepuk dahi. Tangan saya memeluk lengannya.

“Tengah hari tadi.” Pantas jiran saya itu memotong.

“Maaf kalau saya salah. Bila masa jemputnya?” Soal saya sungguh-sungguh. Dahi saya juga bertambah garis kerutnya. Sungguh, namanya tidak tersenarai dalam acara saya. Saya buat muka serius. Saya tidak bergurau.

“Tu!” Lelaki itu menunjukkan jarinya ke papan putih di dinding surau.

“Dah dua hari saya iklankan!” Rungutnya tidak puas hati.

“Kenapa letakkan jemputan di dinding?” Saya gelengkan kepala. “Tak semua jiran-jiran kita membaca, termasuk saya!” Tambah saya lagi. “Nombor telefon saya ada, bukan? Kalau sibuk sekalipun, sms pun okey.” Saya senyum memberi cadangan.

“Jemputlah dengan hati. Alangkah mulianya bila bertemu mata. Genggam jari tangannya. Ketuklah dinding hatinya. Rasai ukhuwahnya, bukankah Itu ajaran Nabi!” Nasihat saya lagi. Jiran saya hanya mengangguk sambil melangkahkan kaki pergi. – Al-Kurauwi.

HIKMAH KELUPAAN IMAM

USAI SOLAT ISYAK semalam, jemaah sedikit kecoh apabila imam muda tertambah rakaat. Sebahagian jemaah kekal duduk di tahiyat akhir, sebahagian lagi termasuk jemaah yang masbuk menambah rakaat mengikut imam. Imam tua menegur. Imam tua menegur lagi. Biarpun imam muda sudah ditegur kali ketiga, dia kekal pada qiamnya menyempurnakan rakaat ke-5, kemudian menamatkannya dengan sujud sahwi.

Biarpun jemaah di perut surau tertanya-tanya, imam muda kelihatan tenang di hadapan menyempurnakan sedikit zikir dan menamatkan solat kami malam itu dengan doa. Belumpun habis bersalam-salaman dengan jemaah. Belum pun selawat sempurna segala rangkap. Imam tua menghamburkan teguran, wajahnya merah, suaranya tinggi.

“Kenapa tambah rakaat? Imam tidak dengar teguran kami?  Imam patut turun balik. Bukan solat Imam sahaja tidak sah, solat makmum yang bangun bersama imam juga tidak sah.” Wajah imam muda yang cuak bertukar warna kelat.

“Maaf, tadi saya syak bilangan rakaat. Menyangka masih tiga walaupun pada hakikatnya sudah sempurna empat rakaat. Oleh sebab itu, saya menambah satu rakaat lagi bagi menghilangkan syak itu. Maafkan saya, menyulitkan tuan-tuan dengan menambah sujud sahwi. 

“Habis, kami yang menambah rakaat ini, tidak sahlah solat kami?” Sampuk seorang jemaah. “Kami yang masbuk macam mana pula?” Sahut seorang jemaah lagi. Kumpulan jemaah semakin membesar. Batang tubuh imam muda menjadi tumpuan kami.

“Makmum yang menambah rakaat sedangkan mereka jahil bahawa yang ditambah itu ialah rakaat ke-5, maka solatnya masih sah kecuali dia tahu. Tak tahu, keliru, tidak mengapa. Bagi yang masbuk satu rakaat, tidak perlu menambah rakaat lagi.” Imam muda menghuraikan kekusutan lelaki itu. Hatinya yang hangat segera menjadi sejuk.

“Imam, patutnya mana boleh salah!” Luah imam tua, suaranya masih tinggi. Bangga dengan bisik-bisiknya memilih mufaraqah.

“Yang tidak niat mufaraqah, boleh menunggu imam pada tasyahud akhir kemudian memberi salam bersama-sama dengan imam pun boleh!” Jelas imam muda lagi.

Saya lihat wajah imam tua, kedut seribu. Entah apa yang dimarahkannya. Jarang dia keluar sebelum sempurna solat sunat ba’diah. Masih ada rungut yang terkunyah di mulutnya. Saya sempat hulurkan Kitab “Masalah Imam dan Makmum” yang disusun oleh Yusof Zaki Yaakob ke tangannya. “Cuba ulang baca.” Bisik saya memaniskan muka. “Lagipun Imam bukanlah maksum. Hikmah kelupaan imam membuka pintu ilmu kepada makmum seperti kita.” – al-Kurauwi