ZAM ZAM KE TANAH HARAM

IDEA menghasilkan cerpen ‘Zam Zam Ke Tanah Haram’, dipetik daripada mulut bonda sewaktu kecil-kecil dahulu. Cerita bonda terngiang-ngiang menjadi peneman gelita malam sementara menanti lena. Zikir ‘Zam Zam ke Tanah Haram’ mengingatkan kita kepada ungkapan ‘Zam Zam Ala Kazam’ dalam filem Laksamana Do Re Me. Namun saya mengenal ungkapan ‘Zam Zam ke Tanah Haram’  sebelum filem-filem P. Ramlee mengetuk kaca Televisyen.

Kisah-kisah bakti ibu bapa yang mendahului segala kepentingan diri mereka buat anak-anak bukan pertama kali dimuatkan di blog ini. Bukan pertama kali juga kita dengar. Cerita-cerita tentang bonda dan ayahanda tidak akan berakhir di sini. Mereka ialah sumber inspirasi kita untuk berkarya. Sayang, kita tidak menjadi perakam sejak kecil. Cerita-cerita mereka ada kalanya tenggelam timbul dan hilang jika tidak kembali mencatat dan berkongsi kebaikan itu. Saya menurunkan kembali ceritanya di sini – al-Kurauwi

Ini cerita bonda tentang kelebihan anak muda yang menjejak kaki ke Tanah Haram. Suatu hari, entah apa anginnya, beliau mencanangkan hajat mahu ke Mekah. Katanya, mahu memeluk Kaabah, mahu bertelut di sudut Raudah, mahu berdoa di sisi Rasulullah  supaya bertemu semula ibu bapanya yang sekian lama terpisah. Dia tahu dengan ilmu sahajalah yang akan menyampaikan langkah. Selagi kudratnya ada, dia tidak akan menyerah. Kata bonda, biarpun derita berpisah nyawa, sedikitpun tidak menghalangnya untuk memenuhi cita-cita. Sambil bercerita, bonda menyuntik semangat ke telinga.

Dengan kapur dan papan batu, anak muda itu segera mencari seorang guru. Maka dengan kolek kecil, dia berdayung dari satu parit ke satu parit sambil menjala dan menahan lukah. Mahu menukar segala hasil mahsulnya sebagai upah. Sayangnya, tiada siapa yang sanggup. Malah setiap kali dia bertanya, maka segera disambut oleh orang kampung dengan gelak tawa. Dituduhnya pula, akal si anak muda tidak sempurna.

Dipendekkan cerita, maka kecewalah anak muda. Sudahlah tiada siapa yang mahu membantu, cita-citanya pula dipersenda-senda. Usahanya tidak pernah bernoktah. Semangatnya tidak pernah patah. Dari alur parit yang mengairi sawah, beliau mendayung ke lebar sungai. Menghilir arus dari sebuah kampung ke sebuah kampung dengan jala dan lukah.

Suatu hari, anak muda ini bertemu dengan seorang lelaki tua yang menyamar sebagai seorang guru berserban dan berjubah. Niatnya hanya mahu mempersenda. Gembiralah anak muda itu akhirnya bertemu juga seorang guru. Tanpa disedari guru yang menyamar itu sekadar mahu menyesatkannya sahaja.

“Zam Zam ke Tanah Haram, Zam Zam ke Tanah Haram!” ujar bonda mengajuk lelaki yang khianat mengajar akan anak muda dengan sepotong zikir sesat. Kami pun mengajuk lenggok bonda menggaya. Namun jari telunjuk bonda dibibir mendiamkan kami serta-merta.

Lelaki itu pun mengajar anak muda cara berwuduk dan bersolat, sambung bonda lagi. Tiada bacaan lain yang diajar melainkan amal khurafat. Kononnya fadilat beramal, boleh membantu anak muda itu terbang ke Mekah. Maka anak muda itu pun beramallah dengan dengan taat. Setiap kali anak muda itu ke masjid, maka dibacanya zikir itu dalam solat, kemudian disambut dengan gelak tawa para jemaah. Akhirnya menuduh anak muda yang naif itu sudah sesat.

Suatu hari, anak muda itu tiba-tiba hilang daripada mata orang kampung. Ada yang kata, anak muda itu lemas dalam parit. Ada yang mendakwa hanyut dibawa arus sungai, namun tiada jasadnya ditemui. Kisah-kisah misteri tentang anak muda itu tidak habis diceritakan orang. Ada yang mendakwa pernah melihat anak muda itu menyeberang parit tanpa titi. Ada yang membawa mulut pernah melihatnya menyeberang sungai tanpa kolek. Lebih gempar lagi, beberapa orang kampung yang pulang mengerjakan ibadah haji mendakwa pernah berselisih dengan anak muda itu di Tanah Haram!

Dalam cahaya malam yang berbalam-balam, bonda mengakhiri ceritanya dengan wajah yang bercahaya dengan kasih sayang. Saya lihat, bukan bibirnya sahaja yang bercerita malah tangan bonda mengawang-awang bagai tok dalang. Bayang gelap anak-anak bonda yang terbias ke dinding bergerak-gerak bak watak-watak wayang kulit di balik cahaya yang sedikit.

Ikuti cerpen penuhnya di Utusan Online. – al-Kurauwi

7 thoughts on “ZAM ZAM KE TANAH HARAM

  1. Salam Tuan Helmi,
    Terima kasih kerana membaca. Mari kita menulis untuk memberi segala kebaikan bukan meminta-minta. Si pemberi yang ikhlas pasti akan memperoleh segala yang diminta di sisi Allah. Terus menulis!

  2. salam, teruja menunggu buah tangan ust yg terkini. Membaca kelunakan bahasa dan tulisan ust membuat hati tenang terlupa hiruk pikuk kota

  3. Tuan Azrul,
    Saya yang patut mengucapkan terima kasih kepada tuan kerana menjadi anak yang soleh. Tahniah, teruskan berbakti kepada ibu bapa.

  4. Puan Hazlina,
    Terima kasih kerana menanti. Saya sudah pautkan keseluruhan cerpen untuk ditatapi dan dihayati isi pesannya untuk kita hadam menjadi ‘penerang’ jiwa.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s