PESTA BUKU 1 MALAYSIA 2013

Pesta_Buku_1_Malaysia

BUAT PERTAMA kalinya saya baru sedar PENGANJURAN Pesta Buku 1Malaysia – satu lagi jenama atas semangat 1Malaysia – diuar-uarkan ke pengetahuan kita. Tahniah atas usaha penganjuran bagi tahun kedua. Tidak seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, jangka hayatnya sangat pendek bermula 30 Januari 2013 – 3 Februari 2013.

Saya belum menjengok kemeriahannya. Dengan tema Buku Jambatan Ilmu, pesta buku ini dikhabarkan menggabungkan kesemua pesta buku yang pernah dianjurkan. Antaranya Pesta Buku Akademik, Pesta Buku Islam, Pesta Buku Kanak-kanak, dan Pesta Lelong. Maksudnya pesta buku ini tidaklah  mengambil alih peranan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang dijangkakan akan diadakan pada 26 April sehingga 5 Mei 2013.

Pesta buku anjuran Persatuan Kontraktor Buku Malaysia dan yayasan Pembangunan Buku Malaysia juga menghimpunkan Penulis Malaysia yang terdiri dari pelbagai genre termasuk penulis blog selain novelis, pengkritik, pengulas buku, penterjemah dan sebagainya. Acara kemuncak ialah Anugerah Buku Negara. 20 Anugerah Perdana iaitu:

1. Anugerah Perdana Tun Sri Lanang Tokoh Buku Negara, 2. Tokoh Industri Buku Negara, 3. Tokoh Karyawan Sepanjang Zaman, 4. Tokoh Kartunis Negara, 5. Tokoh Penerbit Buku Negara, 6. Anugerah Perdana Za’ba Tokoh Pengarang, 7. Anugerah Perdana Za’ba Tokoh Penulis 8. Anugerah Perdana Aminuddin Baki Penerbit Institusi Agensi Kerajaan, 9. Anugerah Perdana Munsyi Abdullah Penerbit Swasta, 10. Anugerah Perdana Kedai Buku, 11. Anugerah Perdana Kedai Buku Maya, 12. Anugerah Perdana Penerbit Universiti Awam, 13. Anugerah Perdana Penerbit Universiti Swasta, 14. Anugerah Penerbit Muda, 15. Anugerah Industri Buku, 16. Koleksi Buku Peribadi Terbanyak, 17. Anugerah Perdana Best Seller, 18. Anugerah Khas Juri, 19. Anugerah Buku Negara (Kategori Korporat) 20. Anugerah Penaung Buku Negara

Diakhiri dengan 21 Anugerah Industri:

1. Buku Kanak-Kanak Terbaik, 2. Buku Remaja Terbaik, 3. Buku Umum Terbaik (Fiksyen), 4. Buku Umum Terbaik (Bukan Fiksyen), 5. Buku Terjemahan Terbaik, 6. Buku Khazanah Warisan Terbaik, 7. Buku Mewah Terbaik (Bergambar), 8. Buku Mewah Terbaik ( Alam Semulajadi), 9. Buku Biografi Terbaik, 10. Buku Teknikal Terbaik, 11. Editor Terbaik, 12. Ilustrator Terbaik, 13. Rekabentuk Buku Terbaik, 14. Penerbit Ensiklopedia (Umum), 15. Naskhah Jilid Terbaik, 16. Penerbit Terbaik Buku bahasa Cina, 17. Penerbit Terbaik Buku bahasa Tamil, 18 Buku Ilmiah Terbaik, 19. Buku Agama Terbaik, 20. Buku Motivasi Terbaik, 21. Novel dan Novelis Terbaik.

Agak-agak anda, di mana duduk buku kita?

 

KOMPAS CINTA DI MAHSYAR

Maulud

BELUM DUA KILOMETER berarak dari Istana Kehakiman hingga ke Masjid Putrajaya namun langkah yang mengheret telapak kaki terasa menyucuk sakit. Betis mengeras lenguh, lutut terasa sengal, sambil pipi menegang meneran suara yang tenggelam timbul,  mengulang selawat kepada baginda Rasul SAW. Pengalaman manis menjejak cinta Baginda Rasul sempena Maulud baru-baru ini pantas menghilang segala keperitan yang sebenarnya tidak sedikitpun terbanding dengan keperitan mehnah dan tribulasi jejak langkah baginda Rasul junjungan.

Selaut manusia bergerak ke dataran Masjid Putrajaya menyuntik insaf betapa ramainya manusia yang akan dihimpunkan di padang mahsyar membawa bekal amal masing-masing. Cukup beratkah timbangan kebaikan di Mizan? Allahumma, betapa berkehendaknya kita kepada syafaat baginda Rasul. Imam al-Tirmizi meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik yang bertanya kepada baginda Nabi SAW,

“Di manakah aku harus mencari tuan nanti untuk meminta syafaat?” Baginda menjawab, “Carilah aku di titian sirat.” Anas bertanya lagi, “Kalau aku tidak menemukan tuan di titian sirat?” Baginda menjawab, “Carilah aku di tempat penimbangan amal.” Anas bertanya lagi, “Kalau aku tidak menemukan tuan di sana?” Rasulullah SAW  berkata, “Carilah aku di telaga, sesungguhnya aku pasti hadir di salah satu daripada ketiga-tiga tempat ini.”

Allahuma, terngiang-ngiang bimbang Anas andai gagal bertemu baginda Nabi SAW di Mahsyar kelak. Saya membayangkan kekalutan itu; Bayangkan, selaut manusia, tanpa cinta Rasul dan reda Tuhan sebagai kompas cinta, mana mungkin kita berjaya bertemu dengan jejak Nabi. Ya Allah, kurniakanlah syafaat baginda Rasul! – al-Kurauwi

 

TUHAN, BERKATI UMURKU

39

ESOK, jika panjang umur, maka Tuhan akan menambah lagi bilangan usia. Jika enam puluh tahun usia kematian, maka nyawapun menyusut dua puluh tahun lagi. Sesudah empat dekad Tuhan panjangkan usia, sangat-sangat bersyukur atas segala kurnia Tuhan yang Maha Esa. Membandingkan diri dengan insan lain, syukur kerana masih punya ayahanda dan bonda, juga mertua. Isteri dan anak-anak juga hidup berkerjaya biarpun sederhana.

Esok, jika masih panjang umur, mahu Tuhan gandakan keberkatan usia dengan suluh ilmu dan amal bagai cahaya matahari yang tidak pernah jemu memberi kemilau emas kepada bumi. Mahu Tuhan gandakan keberkatan usia saat menekuni kalam Tuhan, berlama-lama di perut Raudah dengan iktikaf dan kuliah. Andai Rasulullah SAW masih ada, tentulah Rasulullah akan membisikkan pesan:

“Sebaik-baik manusia menurut pandangan Allah ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula perbuatannya, sedang seburuk-buruk manusia ialah orang yang panjang umurnya tetapi buruk pula perbuatannya” (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim).

Esok, jika takdirnya maut mendahului segala yang bernyawa, mahu Tuhan ampunkan segala dosa yang menggelapkan dada. Kebaikan yang sedikit – andai ada –  jika tidak mampu membeli syurga, mahu yang tinggal bernyawa menyedekahkan al-Fatihah dan doa, agar sedikit ingatan kalian menukar gelap barzakh dengan suluhan cinta. – al-Kurauwi

 

MARIA DILANCARKAN DI IPOH

Majlis Pelancaran 25 buah buku karyawan Perak

Majlis Pelancaran 25 buah buku karyawan Perak

SAYA  tidak hadir membawa novel “Namaku Bukan Maria” ke Ipoh, Perak sempena majlis Pelancaran 25 Buku Penulis Perak  pada 30 Disember 2012 yang lalu. Namun berbesar hati dan berbangga Persatuan Karyawan Perak yang dipimpin oleh Presidennya Tuan Haji Zainuddin memilih “Namaku Bukan Maria” untuk dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Datuk Hamidah Osman.

Saya difahamkan, majlis pelancaran itu mengambil semangat daripada Pesta Buku Perak 2012 bertempat di Mydin Hypermarket Meru Raya, Ipoh. Janji Datuk Hamidah Osman, sebuah galeri sudut kekal di Perpustakaan Awam Negeri akan dibuka bagi menempatkan buku-buku karya penulisan anak Perak berserta biografinya. Lebih manis lagi, pihaknya akan menyumbang dana sebanyak RM10,000 untuk pembelian buku-buku penulis Perak bagi ditempatkan di galeri berkenaan.

Insya-Allah, jika punya kesempatan mahu juga berkunjung ke Perpustakaan Awam Negeri. Mahu melihat wang yang dibahagi-bahagikan sebanyak RM10,000 untuk pembelian 25 buku penulis Perak yang dilancarkan pada 30 Disember 2012 itu.  Kalau benar, seorang penulis boleh berbangga melihat rak bukunya di Perpustakaan Awam Negeri setelah dibeli dengan nilai RM400 seorang. Walau bagaimanapun, jika jumlah itu dibahagikan kepada seluruh karyawan Perak, saya tidak pasti, berapa naskhah buku yang tinggal.

Jangan dilihat sangat berapa hasil yang diperoleh oleh penulis, mari kita memuji usaha yang dibuat oleh Persatuan Karyawan Perak, Perpustakaan Awam Negeri, dan Kerajaan Negeri Perak demi memartabatkan ilmu dan  mengangkat budaya membaca. Saya yakin ramai lagi penulis Perak yang cemerlang namun belum didendangkan. – al-kurauwi.

 

SKRIP SI PENULIS 2013

Skrin Penulis

SEBELAS hari melewati tahun baharu 2013, skrin blog si penulis baru dibuang segala habuk dan sawang setelah lama ditinggalkan usang. Setelah memberi alasan yang pelbagai dan alasan yang masyhur ialah menyalahkan ‘sibuk’ maka hujung jari pun mula bergerak mengetuk aksara di ruang blog yang semakin terasa longgar  dan berjarak.

Masakan tidak, 2012 hanya merekodkan 25 buah entri berbanding 2011 sebanyak 45 buah. Malah tahun 2010 sahaja 57 buah entri berjaya dirakam di sini. Kata sahabat penulis, Facebook antara sebab mengapa medium blog semakin sunyi dan bersawang! (kecuali blog politik) Kata sahabat lain, pangkat antara sebab mengapa blog semakin berjarak dan mengecil saiznya! Tidak sangat mahu mengangguk, tepuk hati tanya jari sendiri! Blog-blog yang memberi inspirasi seperti blog Saifulislam.com milik sahabat ,Ustaz Hasrizal Jamil dan Genta Rasa milik Ustaz Pahrol Mohd Juoi masih tinggi senarai pembacanya.

Pada penulis ia sangat berkaitan dengan apa yang dihasilkan oleh si penulis sendiri. Tahun 2010 – 2011 tahun terbitnya dua buah novel “Namaku Bukan Maria”, 2011 dan “Punya Cinta Ramadan”, 2010 oleh Syarikat PTS Litera Utama Sdn Bhd. Si penulis menyedari bahawa proses menghasilkan sebuah karya mampu meringankan jari untuk menulis. Berkatnya mampu memberi kekuatan kepada kita untuk terus mencatat pengalaman menulis, meluahkan rasa, sela-sela meredakan ketegangan. Pegalaman menantikan hasil terbit, kulit, kualiti dan royalitinya tentulah menarik untuk diceritakan dan dikongsi di sini.

Sempena tahun baharu ini, si penulis sudah memasang cita-cita mahu skrip 2013 lebih baik daripada 2012. Mahu banyak memberi inspirasi kepada diri dan berkongsi manfaat – jika ada – kepada sahabat pengunjung baik dari sudut jumlah entri mahu pun kualiti kandungannya. Semoga ia bergerak seiring dengan usaha untuk menerbitkan beberapa buah karya lagi pada tahun 2013 ini. Allhumma la sahla illa ma ja’altahu sahla, ya karim! Kepada semua pengunjung, Selamat Tahun Baharu 2013 – al-Kurauwi