MATA YANG MENDENGAR

KASHMIR copy

SYUKUR kepada Allah kerana menganugerahkan sepasang mata yang sihat dalam usia yang sudah hampir menjejak separuh abad. Siang datang mata masih lagi memandang. Bila datang malam, kelopak mata masih lagi memejam memejam dan kekadang air mata masih mahu menitis saat berkongsi kesedihan dan kegembiraan. Terngiang-ngiang tutur nasihat Prof. Muhaya (Profesor Oftalmologi AUCMS dan Pakar Perunding mata dan Pengarah Pusat Lasik dan Mata, Pusat perubatan  Prince Court, Kuala Lumpur) apabila memujuk keluhan pemanggil saat bersiaran setiap pagi Rabu di Radio IKIMfm yang mengadu atas kekurangan dan kecacatan penglihatan mereka.

Balasnya mudah iaitu bersyukurlah dan bersyukurlah. Menghargai atas nikmat yang dikurnia Tuhan bukan memusuhi, jauh sekali mencemburui atas segala kehilangan. Saya mengakui kerana dalam kekurangan itu, suluh mata masih mampu memandu terang jalan. Bersyukur kerana mata masih belum diselaput gelita. Jangan menyesali atau mengaduh-aduh atas nikmat yang hilang sebaliknya bersyukur lagi dan lagi atas nikmat yang mendatang.

Syukur sepasang mata ini masih mampu berkongsi kesedihan orang lain dengan empati yang tidak bertepi. Namun antara mata yang memandang, memejam dan mengalirkan air mata, betapa sangat sedikit mata yang basah mengalirkan air mata. Malah mata yang basah saat dirundung sedih atau dibuai gembira dengan mata yang basah membesarkan Allah, betapa sangat sedikit mata yang basah takutkan Allah.

Wahai mata dengarlah betapa Abu Hurairah RA menangis pada saat beliau sakit (sakarat). Maka ditanyakan kepadanya, “Apa yang membuat kamu menangis?” Maka beliau menjawab, “Aku bukan menangis kerana dunia yang akan kutinggalkan ini. Namun, aku menangis kerana jauhnya perjalanan yang akan aku lalui sedangkan bekalku teramat sedikit, (aku menangis) kerana nanti aku akan mendaki jalan ke syurga atau neraka, dan aku tidak tahu ke manakah tubuhku akan dihalau.”

Wahai mata dengarlah dailog Ubaidullah bin Umair rahimahullah, suatu ketika dia pernah bertanya kepada Aisyah RA, “Khabarkanlah kepada kami tentang sesuatu yang pernah engkau lihat dan yang paling membuat kamu kagum akan diri Rasulullah SAW?” Maka Asiyah pun terdiam lalu mengatakan, “Pada suatu malam, baginda berkata, ‘Wahai Aisyah, biarkanlah malam ini aku bersendirian untuk beribadah kepada Tuhanku.’ Maka aku katakan, ‘Demi Allah, sesungguhnya aku sangat gembira berada dekat di sampingmu. Namun aku juga merasa senang apa yang membuat kamu gembira.’

Aisyah menceritakan lagi, ‘Kemudian baginda bangkit lalu bersuci dan kemudian mengerjakan solat.’ Aisyah berkata, ‘Baginda terus menerus menangis sehingga basah bahagian depan pakaiannya!’ Aisyah mengatakan, ‘Ketika baginda duduk (dalam solat) maka beliau masih terus menangis sehingga janggutnya pun basah oleh air mata!’ Aisyah melanjutkan ‘Kemudian baginda terus menangis sehingga tanah (tempat baginda solat) pun menjadi ikut basah (kerana titisan air mata)!”… Hadis riwayat Ibn Hibban.

Wahai mata alangkah baiknya kita mendengar dialog antara mata dengan hati seperti apa yang digambarkan oleh Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah rahimahullah:

Kata hati kepada mata:

“Kaulah yang menyeretku kepada kebinasaan dan mengakibatkan penyesalan kerana aku mengikutimu beberapa saat saja. Kau lemparkan kerlingan matamu ke taman dari kebun yang tidak sihat. Kau salahi firman Allah, “Hendaklah mereka menahan pandangannya,” Kau salahi sabda Rasulullah SAW,

“Memandang wanita itu panah beracun daripada berbagai macam panah iblis. Barang siapa meninggalkannya karena takut kepada Allah, maka Allah akan memberi balasan iman kepadanya, dan akan merasakan kelazatan dalam hatinya.” (Hadis Riwayat Ahmad).

Kemudian mata berkata:

Kau zalimi aku sejak awal sampai akhir. Kau kukuhkan dosaku lahir dan batin. Padahal aku hanyalah utusanmu yang selalu taat dan mengikuti jalan yang engkau tunjukkan.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya dalam tubuh itu ada segumpal darah, jika ia baik, maka seluruh tubuh akan baik pula, jika ia rosak, maka rosak pula seluruh tubuh. Ketahuilah, segumpal darah itu ialah hati. (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim).

Wahai mata dengarlah rintih dan doa Rasulullah SAW ketika mengadu kepada Allah SWT:

Ya Allah kurniakanlah buatku sepasang mata yang mudah mengalirkan air mata agar dapat menyembuhkan hatiku saat ia mengalir kerana takut kepada-Mu. Sebelum air mata menjadi darah dan sebelum gigi geraham menjadi bara.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s