CINTA SESUDAH RAMADAN

Banglo di Tepian Sawah

ANDAI Ramadan sebuah gobok kaca, maka akan kami simpan segala bingkai kenangan yang terkandung pelbagai cerita cinta itu di tingkat jiwa yang paling utama. Andai gobok kaca itu berdiri di hadapan mata, mudah diselak jendelanya setiap masa. Mahu mengenang segala rahmat Tuhan yang melimpah sepanjang Ramadan yang tidak terhitung syukurnya oleh jemari puji. Tidak juga mampu tertulis oleh pena yang menari. Setiap kali dikenang, bingkai inilah yang selayaknya berbicara sendiri. Hatta banyak cerita cinta yang tidak mampu diketuk dan disusun oleh aksara di papan kekunci.

Rakaman kenangan yang paling manis di gobok kaca ini tentulah apabila Tuhan mengizinkan Ramadan memeluk dan meneman bonda yang gering. Doa bonda dan doa kami, anak-anaknya untuk kembali mengulit cinta Ramadan tertunai sudah. Biarpun puasa bonda tidak sempurna bilangan harinya, namun berkat, rahmat dan keampunan Tuhan tidakkan terkurang biarpun sehari. Nikmat cinta hadir setelah diuji dan itulah yang dilalui oleh bonda dan anak-anaknya. Bonda yang sudah sedia uzur dengan penyakit kencing manis dan darah tinggi – kadang-kadang tidak terduga atau tersukat oleh naik turun angka itu, tiba-tiba gering di ambang Ramadan.

Dering telefon tertera nama ayahanda menerjah lewat pagi, “Bonda sudah tidak boleh berkata-kata. Lidahnya pendek!” Di hujung talian, suara ayahanda cemas. Telinga yang menangkap suara cemas ayahanda pantas menukar wajah mamai kami kepada warna bimbang. Mujur ada adinda di Kuantan yang berusaha mendapatkan ambulans membantu memapah bonda ke klinik. Rupanya darah bonda turun rendah. Kata ayahanda, sudah banyak hari bonda tidak selera makan.

Bukan darah bonda yang rendah itu sahaja menambah senarai kebimbangan kami, tubuh bonda dihinggap pula oleh kayap seawal Ramadan. Tubuh bonda yang semakin kering kini bertambah-tambah gering dimamah penyakit itu sepanjang Ramadan. Mengaduh-ngaduh bonda apabila kayap menggigit kulit, hingga ke isi malah sakitnya terasa hingga ke tulang. Seketika tubuh bonda dingin, sekejap-sekejap tubuh bonda hangat. Bermacam-macam petua ayahanda usahakan. Dua tiga orang bomoh kayap, bonda menghadap. Derita sakit, melupakan bonda pada tubuh keringnya yang kadang-kadang sudah lagi tidak terurus.

Syukur, Syawal yang bercahaya kembali datang. Anak-anak bonda yang memeriahkan teratak bonda memujuk dengan suapan kasih sayang. Cucu-cucu yang menyempitkan bilik tidur bonda memegang, mengurut dan mengendurkan segala bimbang. Derita sakit yang belum kebah sepanjang Ramadan memaniskan Syawal. Sakit yang menyedut tubuh bonda hingga kering itu sirna dengan kehadiran Syawal. Moga Tuhan terus meringankan derita bonda dan memelihara kesihatan bonda semula. – al-Kurauwi

2 thoughts on “CINTA SESUDAH RAMADAN

  1. Ustaz, jagalah ibumu sebaik mungkin.moga beransur sembuh.ayahku pergi 1 Syawal baru2 ini.sedikit rasa kesal bersarang di dada kerana kami sering berbalah beberapa hari sebelum ayah pergi.

  2. Terima kasih Rayyan,
    Nasihatmu akan kukenang selalu. Doakan bondaku kembali sihat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s