“APA AKU KISAH!”

Minyak Naik

SEORANG sahabat berkongsi meja makan pagi tadi menghempaskan duduknya sambil mengomel marah-marah. Yang terzahir ke telinga saya ialah sesal panjangnya apabila pagi ini baru dapat tahu harga minyak sudah naik. Marah sungguh-sungguh. Kemarahannya kembang bersama asap rokok yang disedutnya rakus. Berkepul-kepul, lepas sebatang-sebatang. Tiada tanda-tanda mahu berhenti. Bimbang kecil hati, saya tidak sampai hati menegur dek mulut dan hidungnya yang berasap semacam naga itu. Sekadar termampu mengibas-ngibas dengan tangan memberi isyarat yang saya sangat  tidak selesa.

Semangkuk bubur nasi dan segelas nescafe, pelapik sarapan saya hilang baunya dalam kembang asap yang bergentayangan, namun saya telan juga. Mata dan tubuhnya memberi reaksi menuntut maklum balas saya. Saya tetap memilih untuk diam.

“Apa pandangan ustaz?” Bibir hitamnya bergerak juga. Geram barangkali melihat saya tekun menyudahkan semangkuk bubur dengan sambal telur seorang diri. Mahu saya turut sama meramu segala kebencian dan ketidakpuasan hati kepada pihak kerajaan terhadap isu kenaikan harga minyak yang sudah sepanjang malam beberapa kumpulan sahabat di WhatsApp saya menyanyi.

“Apa aku kisah!” jawab saya sesudah mengesat mulut.

Dia terkejut. Saya menelan senyum. Matanya bulat menuntut keadilan daripada lembut lidah saya mengulas. Dia geleng kepala tidak puas hati.

“Ah, tuan pun tak kisah, masa harga rokok naik dahulu!” Cepat-cepat sahabat saya itu mematikan api di puntung rokok yang sudah melepasi garis penapisnya.

“Apabila saya minta reaksi tuan ketika itu, tuan juga kata, “Apa aku kisah!” balas saya.

Saya meninggalkannya terkulat-kulat. Sendawa saya dek semangkuk bubur nasi dan segelas nescafe sesudah itu tiba-tiba tercium wangi. al-Kurauwi

3 thoughts on ““APA AKU KISAH!”

  1. Salam, cerita-cerita kontot begini ada signifikan. Sekurang-kurangnya sebagai perakam sejarah.

  2. Puan Hazlina,
    Sudah lama tidak menyapa di gobok kecil ini. Terima kasih datang dan jemput datang selalu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s