TAHNIK

Tahnik

PADA AWAL TAHUN 2014 ini, barangkali sudah ditakdirkan saya bertemu dengan dua buah keluarga muda yang baru menyambut kelahiran anak sulung mereka. Tugas kecil pun diminta untuk memenuhi tuntutan sunnah Nabi iaitu mentahnikkan bayi lelaki mereka.

Tahnik I

Dari janji untuk datang di sebelah petang yang melelahkan, akhirnya saya menukar ke sebelah malam yang lebih nyaman. “Selepas maghrib”, tulis saya dalam sms. Sebelum maghrib lagi, si ayah menyambut saya datang di sebuah surau berdekatan. Menantunya yang katanya seorang askar itu tidak kelihatan bersama. Usai maghrib kami segera menapak ke rumahnya berjarak 100 meter sahaja. Sebelum memijak anak tangga rumah, ayahnya sempat meninggalkan pesan ke telinga saya:

“Mohon ustaz berikan sedikit nasihat kepada anak dan menantu saya itu.” Lelaki itu memegang bahu saya. Saya lihat keningnya meninggi. Saya tahu harapannya sangat tinggi.

Tahnik II

Saya dah berjanji untuk datang seusai kelas al-Quran sementelah jemputan turut dipanjangkan kepada ibu-ibu yang turut mengaji al-Quran di kelas yang sama. Yang menjemput ke majlis tahnik keesokan harinya ialah salah seorang murid saya. Ketika anaknya berkahwin dahulu, saya tidak hadir kerana tugasan di luar kawasan. Oleh sebab itu wajah menantunya tidak melekat di ingatan. Walaupun kami setaman, namun wajah menantunya tidak tertangkap tubuhnya di surau sedangkan jarak antara rumahnya dengan surau hanya 100 meter sahaja. Sebelum memijak anak tangga rumahnya, saya tergerak hati untuk meninggalkan sedikit pesan ke telinga tuan rumah:

“Mohon izin dapat saya berikan sedikit nasihat kepada anak-anak dan menantu makcikitu.” Dia mengangguk. Saya tahu dia dapat menebak apa yang tersirat di hati saya.

Kedua-dua acara saya jalankan dengan ringkas sahaja. Kurma yang dilenyekkan dengan air zamzam untuk melembutkan isinya, kemudian sedikit madu dan sesudu dua air zamzam. Yang sedikit panjang, saya titipkan pesan nasihat.

“Anak yang soleh bukan datang daripada keberkatan ustaz yang mentahnikkan anak. Air liur atau tangan ustaz tidak boleh membawa berkat kepada anak. Anak soleh datang daripada tangan ibu bapanya yang soleh dan solehah.”

Laku kedua-dua anak muda itu, saya lihat sama. Arahannya juga sama. Saya minta mereka sendiri meribakan anak lelaki mereka. Mereka kelihatan gugup dan berat memeluk sosok tubuh yang kecil dalam dakapan. Saya mahu mereka merasai beratnya tanggungjawab sebagai seorang ayah.

“Membuat anak tidak sesukar mendidik mereka kerana anak yang soleh tidak boleh diwarisi”, sambung saya lagi. Saya tambah dengan  kisah Sayidina Umar al-Khattab dalam kitab Pendidikan Anak-anak Dalam Islam oleh Dr. Abdullah Nasih bin Ulwan. Kisahnya tentang aduan seorang ayah mengenai anaknya kepada Sayidina Umar kerana anaknya tidak mahu taat dan mengabaikan hak anak kepada seorang ayah. Lalu anak itu bertanya pula kepada Sayidina Umar, apakah hak seorang ayah kepada anaknya? Jawab Umar, ada tiga hak anak-anak yang wajib dipenuhi oleh bapa, Memilih ibu daripada keturunan yang baik, menamakan anak dengan nama yang baik dan mendidiknya mengenal al-Quran. Malangnya ketiga-tiga tanggungjawab itu gagal dipenuhi oleh seorang ayah.

Saya tutup pesan saya kepada kedua-dua ayah baharu itu sama seperti pesan Sayidina Umar, “Engkau datang kepadaku mengadukan penderhakaan anakmu, sebenarnya engkaulah yang telah menderhakai anakmu sebelum anakmu menderhakaimu sendiri. Engkaulah yang telah merosakkannya sebelum dia merosakkanmu!” – al-Kurauwi

3 thoughts on “TAHNIK

  1. Salam Muhammad Izham Sa’dan,
    Terima kasih atas kunjungan ke teratak kecil ini. Bingkisan ini juga buat diri sendiri dan rakaman buat anak-anak membaca kelak

  2. Assalamu’alaikum.
    Nasihat, teguran berlapik lagi halus dan panduan yang diberikan sungguh baik buat bacan dan amalan generasi muda sekarang. Ada ketikanya segelintir daripada mereka tidak atau kurang berpendidikan agama malahan melepaskan sepenuhnya tanggungjawab mendidik dan menasihat itu kepada guru, dan guru agama semata-mata.

    Nota: Nasihat dan ingatan buat diriku yang kadangkala ghaflah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s