KERABAT LELAKI BERJAMBANG

Welcome-To-Ours-

PERKATAAN ‘kerabat’ pantas mengingatkan saya kepada pesan dan nasihat bonda. Sewaktu kecil, ketika kebolehan untuk menjejak ketinggian mahu disandarkan dengan adiwira seperti Tarzan yang pantas memanjat dan bergayut dari satu dahan ke satu dahan kerap mengundang jerit suara bonda. “Ha, kerabat lagi, kerabat lagi!” tegur bonda. Perkataan kerabat itu akan bonda ulang bagai butir tasbih digentel apabila anak-anaknya  menanggung kecelakaan dek aksi adiwira itu.

Namun kata kerabat yang mahu dikongsikan dalam entri kali ini merujuk kepada saudara yakni orang yang seketurunan (sekerabat).  Kebetulan tajuk kuliah maghrib semalam, ada kaitannya dengan makna kata serapan Arab ini.

Kuliah dua bulan sekali itu menggunakan kitab Pendidikan Anak-anak dalam Islam yang ditulis oleh Dr. Abdullah Nasih bin Ulwan. Isi muka surat yang semakin menipis itu saya tekuni ke telinga Jemaah. Kuliah pertama saya di awal tahun baharu ini agak bersemangat kedengarannya. Yang hadir, tidak ramai yang saya kenali mungkin ramai si musafir yang menumpang tiang sementara menunggu masuk fardu isyak. Menyentuh tentang kerabat, hujah syariatnya menarik perhatian jemaah di perut masjid antaranya seorang lelaki berketurunan India Muslim saya lihat membulatkan mata sambil menegakkan cuping telinga:

Silaturahim Memanjangkan Umur dan Memurahkan Rezeki
Daripada Anas RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang suka diluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan silaturahim”.

Silaturahim Menghindari Diri Daripada Kematian yang Buruk
Daripada Anas RA, dia telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya orang yang bersedekah dan bersilaturahim itu Allah akan menambah bagi kedua-dua orang itu pada umur dan menghindari mereka daripa kematian yang dibenci dan buruk.”

Sebaik sahaja jarum jam hampir ke dinding isyak, saya segera menyimpulkan kuliah dan menutupnya dengan segugus doa sebelum bilal mengetuk pembesar suaranya.

Usai kuliah, lelaki tua berjambang penuh itu mendekati tubuh saya.  Kami bersalaman dengan mesra. Saya lihat beliau menahan sebak di takungan mata. Saya tahu, ada bicara saya yang mengusik jiwanya.
“Saya sudah tidak memiliki siapa-siapa.” Tiba-tiba lelaki berjambang itu menyusun rasa. Pantas saya beristirja’. “Bukan meninggal,” balasnya. Saya mengerutkan dahi. “Apabila saya memilih Islam, ibu bapa dan adik beradik saya telah memutuskan hubungan persaudaraan kami.” Lelaki berjambang itu gagal menahan air matanya daripada menitis. Saya memegang bahunya dan menenangkan perasaannya.
Saya bertanya, pernahkah cuba menghubungi mereka, bertanya khabar dan berusaha untuk menyantuni keluarga semula. Lelaki berjambang itu menggeleng. Kita tidak mungkin boleh menahan kebencian mereka,  namun jangan kebencian dibalas dengan kebencian. Kebencian harus dibalas dengan kasih sayang,  pesan saya lagi. Ketika azan menusuk corong, saya tinggalkan lelaki berjambang penuh itu dengan pesan Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Tabarani daripada Ka’ab bin Malik:
“Mahukah kamu, aku tunjukkan sesuatu yang dengannya Allah akan meninggikan kamu beberapa darjat. Mereka berkata (para sahabat), Ya, mahu wahai Rasulullah. Sabda baginda, engkau menyantuni orang yang melupakanmu, engkau mengampuni orang yang menganiayaimu, engkau memberi orang yang menahan hakmu, dan engkau memperhubung  tali dengan orang yang memutuskannya.”
Saya lihat lelaki itu mengangguk-angguk. Matanya basah. Semoga Tuhan membasahkan rahmat kepada lelaki berjambang itu kerana mendahului cinta Tuhannya daripada kaum kerabatnya, doa saya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s