HIDAYAH YANG TIDAK BEKU

Hidayah

HIDAYAH sungguh milik Allah!

Lelaki yang kerap menjadi makmum itu, bukan saya seorang sahaja yang kenal, bahkan semua makmum di surau saya sangat mengenali. Walaupun namanya lambat melekat namun bila dilukis fizikalnya, mudah tergambar di kepala. Jalannya tempang. Kata seorang jemaah yang berjiran dengan lelaki itu, kaki kanannya cacat sejak kecil lagi. Manakala sebelah kiri sempurna sifatnya.  Barangkali terkena penyakit polio hingga menyebabkan urat saraf kakinya mengecut dan pendek sebelah. Biarpun kakinya cacat, hatinya tak pernah cacat untuk hadir berjemaah. Setiap kali tiba waktu solat, lelaki itu akan datang dengan basikalnya. Apabila hujan, beliau tetap datang dengan membawa kereta Fiat lama. Kami yang sempurna sifat pun tewas dengan segala istiqamahnya.

Cuma yang cacat, saya lihat pada perlakuan solatnya. Mulanya saya tidak tahu kerana kerap berada di hadapan. Apabila sesekali menjadi makmum, saya perhatikan ramai yang mengelak. Kalau diberi pilihan, tiada siapa yang mahu berdiri di sebelahnya. Masakan tidak, sulit sungguh kami lihat solatnya. Takbiratulihramnya berulang kali, al-Fatihahnya, tahiyatnya, tasyahhudnya  seperti sebuah kereta tua yang rosak kotak gearnya. Berulang-ulang pada permulaan ayat. Laju pula membacanya apabila imam mulai bergerak berpindah rukun. Yang lebih menyulitkan jemaah, apabila suaranya sering terangkat tinggi ke telinga kami. “Tegurlah imam,” cadang seorang jemaah. Saya mengangguk bersetuju. Saya lebih bersedia untuk  mengangguk demi menelan hakikat bahawa hidayah Tuhan tidak semudah menegur. Pahit menelan teguran itu tak sesedap menelan ubat!

Seingat saya, bukan sekali saya berpesan. Bertahun-tahun rasanya. Mulanya, pesanan bersifat umum sahaja. Sindiran itu terapung ke telinga semua jemaah kerap saya ulang sebelum mula solat. Kadang-kadang terselit juga sebelum bacaan Yasin dan tahlil. Masuk juga dalam sela-sela majlis tazkirah. Adakalanya tersindir dalam pertanyaan para jemaah sebelum usai kuliah. Namun semua teguran yang bersifat umum dan pernah juga secara peribadi namun tidak tersangkut ke hatinya. Sesudah teguran peribadi itu, kami semakin menjauh. Saya tahu dia terasa. Saya dapat rasa, beliau akan mengelak untuk berdiri di sebelah saya apabila kami sama-sama menjadi makmum. Saya pasrah. namun berdoa juga supaya segera Tuhan lorongkan hidayah.

Suatu malam, kebetulan hanya ada satu ruang di sebelah saya masih kosong. Saya perasan kelibat lelaki itu hadir di belakang. Dia tidak ada pilihan, melainkan memenuhi ruang yang masih berbaki. Kali ini, dia tidak lagi teragak-agak untuk membuat keputusan.  Solatnya saya perasan sudah jauh berubah. Jauh lebih baik. Aman dan nyaman. Saya percaya kantung hatinya sudah basah dipenuhi dengan hidayah yang selama ini menitis setitik demi setitik. Saya tahu, bukan kami yang menumpahkannya. Tuhan juga yang mencairkannya sesudah lama beku. – al-Kurauwi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s