SUAMINYA, SAHABAT KAMI

Suaminya, kawan kami1

WANITA TANPA SUAMI itu bukanlah berpisah kerana diceraikan. Mereka berpisah kerana suaminya sakit. Sakit sungguh-sungguh! Mati-mati kami – rakan-rakan suaminya – menyangka – menerusi Whats App dan Facebook yang tidak punya ekspresi wajah itu, suaminya hanya sakit biasa-biasa sahaja. Dengan lain perkataan, sakit yang boleh dirawat dengan nasihat doktor dan ubat-ubatan. Rupa-rupanya, sakit yang tertangkap oleh telinga kami, sakit yang sangat berat untuk ditanggung oleh seorang isteri yang bekerja; menanggung segala kehidupan dengan tiga orang anak yang masih kecil.

Berat mata kami memandang, namun tidak terbias dugaan itu ke wajah wanita di hadapan kami. Dia tenang dan sabar; kelihatannya gagah tidak seperti wanita lain. Kami bertemu di sebuah restoran setelah lama memujuk untuk bertemu. Setelah menghulurkan sumbangan yang dikumpulkan daripada rakan-rakannya yang lain, kami memasang telinga mendengar perkhabaran terkini sahabat kami itu. Yang menjadi tanda tanya, ke mana hilangnya si suami, apa yang berlaku dan mengapa beliau terlalu berahsia. Persoalan yang berlegar itu mahu kami dapatkan jawapan dengan segera.

Beliau memesan segelas teh tarik, saya mencicip segelas nescafe yang sudah semakin dingin dek menunggu. Sahabat saya yang seorang lagi gagal menyudahkan sekeping roti canai apabila wanita itu mula membuka mulut. “Saya asalnya bimbang untuk bertemu. Bimbang nanti mengaibkan suami.” Wanita itu membuka hatinya ke telinga kami. “Suami puan, kawan kami,” pujuk saya. “Selain puan dan anak-anak, kami rakan-rakan beliau yang rapat.” Wanita itu pada mulanya resah dan kelihatan serba salah, terpujuk juga akhirnya. “Sejak dia kehilangan ayah, sejak dia menyangka dirinya ada saka, sejak dia bertemu dengan satu kumpulan tarekat kononnya boleh membuang saka keluarga, maka sejak itulah dia berubah. Sejak itulah kami terasa kehilangannya.”

Benarlah, suaminya sedang sakit ‘tenat’. Itu yang kami simpulkan. Atas nasihat seorang ustaz, suaminya sudah dihantar ke sebuah pusat rawatan jauh daripada rumah dan anak-anaknya. “Saya mahu suami saya kembali normal,” tambahnya lagi. “Pada masa yang sama, saya tidak mahu menyusahkan orang lain.” Kami kehilangan kata-kata bukan kerana kejujurannya sahaja bahkan kami sendiri mengakui bahawa sahabat kami itu memang sudah tiada punya siapa. Tanpa kasih sayang ibu bapa dek perceraian dan tanpa adik beradik yang tidak bertemu sejak kecil.

Wanita itu hanyalah seorang isteri kepada sahabat kami. Kami hanyalah sahabatnya. Tuhan tahu resah hati seorang isteri dan gelisah kami sahabat-sahabatnya. Tidak pula kami bertanya, kenapa Tuhan timpakan ujian besar ini kepada keluarga serba kecil dan kerdil ini melainkan kami yakin mereka sedang memerlukan rahmat dan ihsan Tuhan lebih daripada baris-baris jawapan yang tidak mampu kami berikan. – al-Kurauwi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s