NIKMAT MENERIMA TANPA MEMINTA

Nikmat Menerima

SEMALAM dalam perjalanan pulang, di sebuah lorong perjalan kaki, saya melihat seorang ibu gelandangan menyandarkan tulang belakang ke sebuah dinding bank dengan tubuhnya yang letih metah. Tiga orang anaknya; seorang dipangkunya di atas ribaan manakala dua orang lagi anaknya; seorang lelaki dan seorang perempuan girang bermain kejar-kejar. Hujan baru sahaja berhenti, lampu neon membiaskan wajah etnik wanita ini. Saya meneka, beliau wanita Muslimah dari Myanmar.

Yang berbeza, wanita ini tidak menadah tangannya untuk meminta-minta kepada pejalan kaki seperti kebiasaan yang saya lihat. Di sini, saya perhatikan ramai wanita yang mempergunakan anak-anak untuk meraih simpati di sepanjang deretan kedai-kedai di situ.

Keluar dari pintu mesin bank automatik itu saya berselisih dengan seorang lelaki berketurunan Arab. Lelaki itu pantas menghulurkan sekeping wang kertas yang masih baharu dari koceknya. Biasan warna neon dan gelap malam yang hambar menyebabkan saya gagal meneka nilainya. Wanita itu menerima dengan terpinga-pinga. Wajahnya berseri-seri. Bagai seorang hafiz yang menekuni hafazannya, saya lihat wanita itu menghenjutkan tangannya dengan bahasa doa yang tidak saya mengerti. Mungkin memanifestasikan syukur yang tidak terperi dek nikmat pemberian tanpa diminta.

—-

Indahnya nikmat menerima tanpa meminta itu saya rasai sendiri. Sebelum kuliah tengah hari tadi, sekeping sampul surat tercatat nama saya tegak tersandar di balik sebiji pasu bunga comel betul-betul di atas meja kuliah. Saya tidak mahu meneka kerana percaya kandungannya berupa sekeping cek yang dibayar oleh penganjur setiap bulan. Kuliah memenuhi rutin seperti biasa sehingga sempurna zolat zuhur berjemaah. Pulang dari kuliah, saya dapati rupa-rupanya sampul surat panjang itu bukanlah cek seperti yang saya sangka tetapi mengandungi tiga keping wang kertas RM50 bersama-sama dengan sehelai nota. Nota itu bertulis tangan daripada seorang ibu:

“Tiada tujuan tertentu dengan pemberian yang tidak seberapanya ini, sekadar ‘token of appreciation’ for what you’re given to me, ilmu pengetahuan, perhatian dari seorang guru etc.. Biarpun begitu saya selalu yakin bahawa ‘rezeki Allah untuk dikongsi bersama'”

Allahuakbar! saya diam lama mencicip manisnya menerima rezeki tanpa meminta-minta. Aduh, saya sebak. Tiba-tiba saya teringat wanita Muslimah yang saya temui malam tadi, saya dapat rasa perasaan yang sama seperti yang dirasai oleh ibu tiga anak itu. Lidah pujian dan syukur melantun-lantun dari dinding kalbu. Bibir basah menyebut nama Allah. Saya percaya, Tuhanlah yang memberi kepada hamba-Nya segala nikmat yang berhak untuk dia menerima. – al-Kurauwi  

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s