AL-KURAUWI DI DEWAN MASYARAKAT

masjidil-haram

SUDAH lama saya tidak menulis di Dewan Masyarakat. Alhamdulillah, bulan November, artikel saya keluar. Jemput membaca ‘Kasih Rasulullah’ sempena bulan Zulkaedah ini. Tajuk artikel ini asalnya ialah ‘Haji Al-Wadak, Pesan Kasih Rasulullah’ atau boleh dibaca di bawah ini – al-Kurauwi

CINTA kita kepada manusia sering diukur dan dilambangkan dengan nombor atau peratus. Maka tersipu-sipulah seorang kekasih apabila dibisikkan bahawa cintanya 100%. Seorang isteri akan membunga bahagianya apabila si suami berjanji cintanya hanya milik isteri 110%. Malah kekukuhan sebuah cinta sering dibandingkan dengan kehebatan cinta Uda dengan Dara, Romeo dengan Juliet dan lain-lain. Kita bagai terlupa cinta besar Rasulullah SAW kepada umatnya, sedang Baginda tidak pernah, bertemu dan kenal pun kita!

Teruskan membaca

Advertisements

KEADILAN ISLAM MELUMPUHKAN KOLONIALISME

 

KERANGKA keadilan dalam Islam tidak sedikit pun dipengaruhi oleh  ‘Timur’ mahupun ‘Barat’. Islam menekankan kesaksamaan dan bukan kesamaan mutlak seperti yang berlaku dalam falsafah sosialisme. Islam juga tidak serupa dengan kapitalis. Individu diberi kebebasan dalam Islam selagi tiada apa-apa konflik dengan kepentingan masyarakat sedang kapitalis memberi kebebasan penuh kepada individu. Keadilan dalam Islam ditakrifkan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak.

Sebagai pemimpin menunaikan hak rakyat secara saksama walaupun berbeza fahaman dan agama memaknakan keadilan dalam Islam. Malah keadilan sudah bersifat universal dan menjadi keutamaan kepada setiap Muslim dan bukan Muslim, apatah lagi dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia hari ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum dalam kalangan manusia hendaklah kamu menetapkan dengan adil.” (Surah al-Nisa’ : 58)

Ketidakadilan yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin Muslim kita berpunca daripada kejahilan mereka sendiri yang tunduk mengikut hawa nafsu. Akhirnya tindakan tersebut memberikan kesan yang negatif kepada golongan bukan Islam, lantas mereka mengaitkan Islam dengan fahaman ekstremis yang seolah-olah menghalalkan ketidakadilan yang berlaku.

Teruskan membaca

40 TAHUN: USIA LEWAT IBADAH?

 

SEMPENA kedatangan tahun baru 2008, soalan seperti ini mungkin keluar dalam benak kita; Benarkah kehidupan ini bermula pada usia 40 tahun? Apakah ia sekadar slogan pemanis mulut demi menutup kebimbangan diri akibat pertambahan usia dan penurunan fungsi organ tubuh serta penampilan diri? Sebenarnya tidak ada apa yang perlu kita bimbang. Usia bukanlah faktor penentu kesuksesan atau kebahagiaan seseorang.

Pertambahan usia tidak wajar mengurangkan semangat dan daya kerja kita. Andai berasa bimbang, bimbanglah kepada amal bakti kita. Apakah semakin bertambah usia kita makin berganda-ganda pahala kita dan apakah semakin dekat pula dengan syurga Allah?

Ibn Kathir mengaitkan pertambahan usia seseorang itu suatu yang sangat positif. Kata Ibn Kathir, usia 40 tahun itu usia mengukuhkan pendirian, panjang akal dan mudah faham dan bernas apabila berhujahDari satu sudut yang lain, ada benarnya ‘usia’ itu bermula dengan 40 kerana ada signifikannya dalam penciptaan manusia.

Sedar atau tidak angka 40 ini disebut oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis. Sabda Nabi: “Setiap benih yang disenyawakan selepas 40 hari dalam rahim ibu akan didatangi malaikat. Malaikat itu berkata, wahai Tuhan, baikkah atau burukkah (kesudahannya)? Lelaki atau perempuankah? Kemudian Allah menjawab, tulislah dua perkara, tetap amalannya dan kesudahannya dan rezekinya kemudian sahifahnya ditutup. Tidak ditambah atau dikurang selepas itu.

Teruskan membaca

DERMA ORGAN: JARIAH YANG BERTERUSAN

Takziah Buat Keluarga Siti Salmah 

BAYANGKAN, setiap tahun negara memerlukan sehingga 1,200 buah pinggang, 700 kornea mata, 450 jantung dan 200 hati untuk dipindahkan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan. Malangnya, disebabkan ketiadaan penderma, angka ini menjadi semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Pemindahan organ adalah salah satu ikhtiar untuk pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan organ. Si penderma, sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia adalah suatu bentuk kebaktian yang tidak semua orang boleh melakukannya. Mereka memberi harapan baru kepada pesakit-pesakit seperti Muhammad Fikri Nor Azmi dan Tee Hui Yee.  

Teruskan membaca

AIDIL FITRI: BUDAYAKAN AMALAN BERZIARAH

 

AIDILFITRI yang terkandung di dalamnya limpahan nikmat dan keampunan Tuhan pasti akan disambut dengan penuh kegembiraan oleh pelbagai peringkat umur baik yang tua, muda apatah lagi golongan kanak-kanak. Tradisi kemeriahan lebaran ini jangan sekadar dilihat kepada baju baru atau kuih-muih, ketupat dan lemang sahaja bahkan kemeriahannya lebih terasa andainya budaya kunjung-mengunjungi, ziarah-menziarahi dari rumah ke rumah dihidupkan semula.

Pertemuan yang setahun sekali itu harus dibumbui dengan taaruf demi mengelak daripada fitnah dan syak wasangka. Jelas Nabi dalam satu riwayat; “Suatu ketika aku menemui Rasulullah SAW di rumah Baginda, kemudian aku mengetuk pintu rumahnya. Maka Nabi SAW bertanya: Siapa tu? Maka aku menjawab: Saya. Rasulullah SAW bertanya pula: Saya? (saya tu siapa?) Nada suara Baginda seolah-olah membenci jawapan aku itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adab meminta izin juga merangkumi beberapa adab yang lain antaranya; jangan meninggikan suara atau terjerit-jerit memanggil. Sebaik-baiknya ulangi sebanyak tiga kali sambil diselang-selikan dengan ketukan pintu yang lembut atau deringan loceng yang sopan. Anas meriwayatkan bahawa rumah Nabi SAW sering diketuk oleh para sahabat dengan luku jari bukan dengan tangan mereka. Ini menunjukkan ketinggian akhlak para sahabat serta kemuliaan mereka yang sentiasa beradab kepada seorang Nabi.

Islam melarang seseorang itu berada betul-betul di hadapan pintu apabila menunggu penghuninya keluar. Rendahkanlah pandangan mata daripada melihat aurat yang dilarang serta memelihara maruah orang lain. Rasulullah SAW apabila mendatangi rumah sahabat-sahabatnya, Baginda akan mengelak daripada berdiri menghadap pintu masuk. Baginda memilih di sudut kanan atau kiri pintu.

Teruskan membaca

LEGASI BLOG, SELUMBAR DI HUJUNG JARI?

 

DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI dalam kenyataannya kepada akhbar memberi amaran kepada pengendali laman blog supaya tidak menulis sesuka hati terutama perkara sensitif menyentuh soal Yang dipertuan Agong dan agama Islam. Sungguhpun didaftarkan di luar negara, itu tidak bermakna mereka kebal daripada undang-undang dan perlu bersedia menghadapi tindakan tegas jika tulisan mereka mempunyai unsur yang tidak baik dan tidak bertanggungjawab.

Sebelum itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap laman blog Malaysia-Today kerana didakwa menghasut rakyat supaya menentang pemimpin negara termasuk Yang dipertuan Agong selain agama Islam. Ketua Penerangan Umno itu turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengendali laman blog dan penulis yang memberi komen kerana ia boleh mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Di Singapura, usaha mengekang diayah-diayah bloggers menerusi undang-undang lebih keras lagi dikenakan apabila dua rakyatnya berketurunan Cina pernah dipenjarakan di bawah akta anti hasutan kerana menyiarkan artikel berbau anti-Muslim dalam blog mereka.

Tidak kurang juga di Mesir kerana buat pertama kalinya dalam sejarah perundangan Mesir, mahkamah Iskandariah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada bloggers , Abdel Karim Suleiman; seorang siswa Universiti al-Azhar,  kerana didakwa menghina Islam dan Presiden Mesir, Husni Mubarak. Selain itu, Jan Pronk, wakil khas Sudan ke PBB, diberi notis tiga hari untuk keluar dari Sudan disebabkan pandangan peribadinya terhadap tentera Sudan dalam blognya.

Teruskan membaca

BOIKOT CABANG JIHAD

 

ADA seorang kenalan marah-marah dengan kempen boikot barangan Yahudi dan Amerika sewaktu rejim itu membantai Lubnan dan memporak-perandakan negara Palestin. Apa, dengan memakai gelang getah di tangan tu (bertulis boikot barang Yahudi dan Amerika) ekonomi mereka akan jatuh ke? Malah sikit pun tidak akan menjejaskan negara mereka, katanya.

Inilah sebahagian daripada mentaliti kita yang gopoh dan mahu sahaja Tuhan menurunkan bala berupa hujan api dari langit. Kita sering kali mahu melihat natijahnya sahaja tanpa memikirkan apakah ikhtiar yang telah kita lakukan di saat segala macam penghinaan dan kezaliman yang telah mereka lakukan. Sekecil-kecil ikhtiar itu lebih baik daripada merungut-rungut sekampung, berkeluh-kesah tanpa tindakan atau hanya menyalahkan orang lain.

Tidak ada salahnya amalan memboikot dalam Islam malah ia merupakan salah satu cabang jihad. Boikot sebagai penyataan rasa tidak bersetuju harus diperjuangkan berasaskan prinsip-prinsip syariah tidak boleh melampaui akhlak dan kesucian agama Islam. Boikot terbukti boleh menjadi senjata yang ampuh apabila isu penyebaran karikatur menghina Rasulullah SAW oleh akhbar-akhbar Barat suatu ketika dahulu berjaya memberi impak negatif kepada ekonomi negara mereka.

Teruskan membaca