MENGHITUNG HARI-HARI TERAKHIR RAMADAN yang semakin menyusut, hati tiba-tiba sebak. Sebak yang bukan sedikit. Sebak yang sungguh-sungguh. Semalam, ketika bersama-sama jemaah menanti waktu berbuka di surau, hati terkenangkan sosok-sosok tubuh Jemaah yang sudah dijemput pulang ke rahmat Ilahi. Hati terkenang-kenang dan mulut pun menyebut-nyebut nama arwah sekian dan arwah sekian sambil menyuap hidangan sepinggan nasi. Mujur menu masak lemak daging salai agak sedikit pedas mampu menyembunyikan mata yang semakin kembang dengan tangisan.
Usai sedikit tahlil dan doa selamat, mulut pun menyebut-nyebut segala kenangan dan kebaikan mereka ketika sama-sama memakmurkan surau di tengah taman. Kelibat mereka bagai ternampak-nampak di antara sela tiang agam yang memasak bumbung. Sujud dan rukuk mereka bagai terpandang-pandang pada hijau baris-baris saf. Kerusi yang menopang tubuh uzur mereka dahulu, kini sudah bertukar penghuni. Tuhan, dalam setiap doa pada khatimah solat, tidak pernah terlepas sebaris ingatan akan wajah-wajah mereka biarpun nama mereka ada yang sudah luput tidak lagi terpahat.
Di penghujung Ramadan ini, terima kasih Tuhan kerana menyuntik kenangan yang menginsafkan betapa kematian itu suatu yang pasti. Betapa Ramadan itu pasti pergi, dan kematian itu tidak terkecuali. – al-Kurauwi