ADEGAN BERAHI PANCING PEMBACA?

Adegan Berahi

Isu: “Benarkah novel popular menggunakan formula tema cinta keterlaluan dengan unsur berahi dan elemen seks untuk menarik pembaca?” Apa pula pandangan ustaz mengenainya daripada sudut Islam, adakah ia bertentangan dengan syariat dan bagaimana ia boleh mempengaruhi pembaca,”

1) Boleh Ustaz ulas secara ringkas dan padat mengenai isu yang dikemukakan di atas?

Isu novel yang menggunakan formula tema cinta keterlaluan dengan unsur berahi dan elemen seks untuk menarik pembaca bukanlah isu baharu. Seingat saya, pernah diterbitkan novel-novel bersiri oleh Syarikat Amir Enterprise, “Siri Kisah Cinta” 1970-an dan Novel Mona Gersang yang cukup popular awal 80-an dulu.

Bagi saya, novel yang menggunakan formula tema cinta keterlaluan dengan unsur berahi dan elemen seks ialah novel erotik atau picisan. Mungkin, tidak semua novel yang popular itu erotik. Cuma novel yang menggunakan pendekatan seks sama ada popular atau erotik kedua-duanya bertentangan dengan syariat dan boleh mempengaruhi pembaca.

2) Ada sesetengah pihak menganggap elemen cinta terutama babak romantik antara pasangan bercinta atau suami isteri dalam novel cinta semasa semakin keterlaluan dan tidak sesuai serta boleh mendorong pembaca terutama golongan muda @ remaja yang secara tak langsung ingin mencuba, sekali gus terjerumus dalam gejala sosial. Apa pandangan ustaz?

Saya bersetuju bahawa ada sesetengah penulis sengaja memasukkan elemen cinta, sama ada cinta halal atau cinta terlarang dan ada kalanya digambarkan berlebih-lebihan. Biarpun wataknya suami isteri, babak-babak romantik dengan sengaja disuntik sebagai pelaris. Novel seperti ini sama ada popular atau tidak, sudah pastilah membangkitkan ghairah dan melekakan. Kadang-kadang untuk mewajarkan ‘kebaikan’nya, satu dua bab terakhir digambarkan watak ini bertaubat dan menyesali dosa terlampau mereka. Novel seperti ini akhirnya mendorong pembaca terutamanya remaja membuat tanggapan bahawa berdosa-dosa dahulu, apabila sudah tua baru bartaubat!

3) Boleh Ustaz terangkan tanggungjawab penulis dalam menghasilkan karya, bukan saja memberi hiburan dan ilmu kepada pembaca tetapi juga membawa kisah yang tinggi nilai moral sekali gus membawa pembaca ke jalan yang benar.

Penulis ialah pencatat, catatannya dibaca orang. Segala apa yang dicatatkan akan dipertanggungjawabkan.

Penulis ialah pencatat, catatannya dibaca orang. Segala apa yang dicatatkan akan dipertanggungjawabkan. Oleh sebab itu, Tuhan menugaskan malaikat Raqib dan Atid sebagai pencatat. Sebagai penulis, tulislah yang baik-baik agar kesannya sampai kepada pembaca juga baik-baik. Dengan itu, malaikat akan mencatat yang baik-baik untuk kita. Catatan yang buruk akan dibalas buruk malah akan diperlihatkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Teruskan membaca

Advertisements

MANIS YANG TERTINGGAL

Hadiah Sayembara Menulis Novel Citra Malaysia

YANG manis-manis, jarang sekali terlepas daripada ingatan biarpun kadang-kadang tertinggal daripada catatan tinta. Kata guru, yang manis-manis, andai dirakam dalam ingatan semata-mata, akhirnya luput juga. Maka yang manis-manis itu wajar dicatat agar aroma, mata dan lidah yang merasa dapat menikmati lebih lama jangka hayatnya.

Saya sangat bersyukur bahawa dalam dunia penulisan yang cetek, yang manis-manis banyak sudah Tuhan anugerahi. Dari novel pertama, “Tinta Elipsis” lagi, saya sudah merasai alangkah manisnya dapat mengandung dan melahirkan novel sulung, kemudian lahir pula novel kedua, “Insyirah” juga manis kerana meraih kejayaan sulung menerusi Sayembara Menulis Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007. Sesudah dua buah novel itu lahir, betapa manisnya menyambut pula kelahiran “Punya Cinta Ramadan” dan “Namaku Bukan Maria” daripada perut ibu yang baharu. Ini belum masuk kemanisan, lahirnya kumpulan cerpen, “Di Dadanya Kalam Tuhan”.

Hadiah Sayembara Penulisan

Yang manis-manis, dan tertinggal pula catatannya di sini, apabila Tuhan anugerahi pula kemanisan menulis novel saya yang kelima, “Penenun Cinta”. Novel ini ditakdirkan memenangi tempat kedua, Hadiah Sayembara Mengarang Novel Citra Malaysia pada 12 Disember 2013 yang lalu. ‘Lebih manis’, apabila tiada pemenang pertama dinobatkan. Manakala pemenang ketiga ialah Tuan Haji Rahman Yusof dari Pahang dan dua sagu hati oleh penulis Johor, ayahanda Haji Shapiai Mohd Ramly dan kekanda Aminah Mokhtar. Manis, apabila digandingkan dengan ketiga-tiga tokoh penulisan tanah air.

Novel Citra Malaysia

Sesudah catatan ini akan ada lagi yang manis-manis. Yang tertinggal dan manis-manis untuk dicatatkan di sini nantinya ialah manis pula menunggu buku terbit. Doakanlah, semoga lancar sahaja penerbitannya dan sampai ke tangan pembaca dengan wajah-wajah yang manis-manis. – al-Kurauwi

ULASAN ‘NAMAKU BUKAN MARIA’ DI BH

 

NBM di Berita HarianSETELAH lebih sebulan, ruang maya ini tidak diisi (seperti tidak ber’maya’), Alhamdulillah ada asbab ruang yang kosong ini kembali ditulis.

Jumaat, 19 April 2013, novel keempat saya memenuhi muka surat 7, laman sastera, Berita Harian. Terima kasih kepada wartawan sastera Berita Harian yang memilih novel “Namaku Bukan Maria” mengisi slot ulasan buku kali ini. Dahulu, wartawan Nazmi Yaakub, pernah mengulas novel ketiga saya “Punya Cinta Ramadan” 3 September 2010. Lalu lima bintang diberinya.

Kali ini di tangan wartawan Hafizah Iszahanid, novel sejarah yang berasaskan Teori New Historicism – katanya – diempatbintangkan. Ulas Hafizah Iszahanid:

Kisah gadis Belanda ini sudah banyak diangkat sebagai fiksyen, namun di tangan Ibnu Ahmad al-Kurauwi selaku pengarang novel, kisah keluhuran cinta seorang ibu kepada anak angkatnya dan ketelusan kasih sayang anak remaja kepada agamanya yang diberi penekanan.

Ya, itulah semangat saya dalam jiwa Natrah yang patut subur dan hidup. Menulis novel ini, kerja yang melelahkan setelah membaca dan membaca kemudian mengkaji agar watak membetuli fakta. Benarlah, tugas penulis itu bukan hanya membaca dan mengkaji sejarah bahkan sejarah dan watak-watak dalam sejarah itu boleh sahaja disongsangkan! Ulas Hafizah Iszahanid lagi:

Novel ini mencadangkan karya sejarah dikaji dan diterjemah dalam konteks sejarah pengarangnya dan sejarah yang dikritiknya.

Terima kasih kepada editornya Faiizah Lood (ketika itu) dan Asma Fadila kerana buat kali keduanya memberi kepercayaan kepada penulis untuk berkarya di PTS. Selamat membaca kepada sekalian para sahabat. Terima kasih juga kepada yang membeli dan menyokong buah fikir kecil ini. – al-Kurauwi

MARIA DILANCARKAN DI IPOH

Majlis Pelancaran 25 buah buku karyawan Perak

Majlis Pelancaran 25 buah buku karyawan Perak

SAYA  tidak hadir membawa novel “Namaku Bukan Maria” ke Ipoh, Perak sempena majlis Pelancaran 25 Buku Penulis Perak  pada 30 Disember 2012 yang lalu. Namun berbesar hati dan berbangga Persatuan Karyawan Perak yang dipimpin oleh Presidennya Tuan Haji Zainuddin memilih “Namaku Bukan Maria” untuk dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan, Usahawan, Pelancongan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Datuk Hamidah Osman.

Saya difahamkan, majlis pelancaran itu mengambil semangat daripada Pesta Buku Perak 2012 bertempat di Mydin Hypermarket Meru Raya, Ipoh. Janji Datuk Hamidah Osman, sebuah galeri sudut kekal di Perpustakaan Awam Negeri akan dibuka bagi menempatkan buku-buku karya penulisan anak Perak berserta biografinya. Lebih manis lagi, pihaknya akan menyumbang dana sebanyak RM10,000 untuk pembelian buku-buku penulis Perak bagi ditempatkan di galeri berkenaan.

Insya-Allah, jika punya kesempatan mahu juga berkunjung ke Perpustakaan Awam Negeri. Mahu melihat wang yang dibahagi-bahagikan sebanyak RM10,000 untuk pembelian 25 buku penulis Perak yang dilancarkan pada 30 Disember 2012 itu.  Kalau benar, seorang penulis boleh berbangga melihat rak bukunya di Perpustakaan Awam Negeri setelah dibeli dengan nilai RM400 seorang. Walau bagaimanapun, jika jumlah itu dibahagikan kepada seluruh karyawan Perak, saya tidak pasti, berapa naskhah buku yang tinggal.

Jangan dilihat sangat berapa hasil yang diperoleh oleh penulis, mari kita memuji usaha yang dibuat oleh Persatuan Karyawan Perak, Perpustakaan Awam Negeri, dan Kerajaan Negeri Perak demi memartabatkan ilmu dan  mengangkat budaya membaca. Saya yakin ramai lagi penulis Perak yang cemerlang namun belum didendangkan. – al-kurauwi.

 

CINTA SI PENDAYUNG

Laut

ANAKANDA,
Nikmat memandang laut yang serba luas dan indah,
Masakan sama dengan kepuasan
mencipta sebuah sampan lengkap dengan pendayungnya.
Sebelum berkayuh di dada laut,
Maka kami binakan sebuah sampan daripada tangan mahir para penukang.
Kayunya dari negeri atas gunung,
yang tumbuh dicelah dataran tinggi menghijau.
Serba kukuh diuji ribut, tegap dalam dingin kabut.
Besinya dari negeri yang paling rendah daripada muka laut. 
Sulit untuk ditempa, kukuh membentuk rangka.

Anakandaku,
Setelah dibekalkan sebuah sampan dan pendayung, 
Janganlah takut melihat ombak laut yang serba menggulung.
Saat berkayuh di dada laut, serapahkan dengan bismillah
kemudian bertawakallah dengan nama Allah.  
Biarpun kayunya kukuh yang tumbuh dari negeri atas gunung,
besinya berat ditempa ringan hingga terapung-apung,
ketahuilah bahawa sampan tidak akan berlayar,
jika tangan tidak memegang pendayung.

Anakandaku,
Berkayuhlah dengan cinta seorang pendayung
mencari cinta Tuhan yang Maha Agung.

– Al-Kurauwi,
Minggu Penulis Kanak-Kanak 2012,
12-16 Disember 2012.

ZAM ZAM KE TANAH HARAM

IDEA menghasilkan cerpen ‘Zam Zam Ke Tanah Haram’, dipetik daripada mulut bonda sewaktu kecil-kecil dahulu. Cerita bonda terngiang-ngiang menjadi peneman gelita malam sementara menanti lena. Zikir ‘Zam Zam ke Tanah Haram’ mengingatkan kita kepada ungkapan ‘Zam Zam Ala Kazam’ dalam filem Laksamana Do Re Me. Namun saya mengenal ungkapan ‘Zam Zam ke Tanah Haram’  sebelum filem-filem P. Ramlee mengetuk kaca Televisyen.

Kisah-kisah bakti ibu bapa yang mendahului segala kepentingan diri mereka buat anak-anak bukan pertama kali dimuatkan di blog ini. Bukan pertama kali juga kita dengar. Cerita-cerita tentang bonda dan ayahanda tidak akan berakhir di sini. Mereka ialah sumber inspirasi kita untuk berkarya. Sayang, kita tidak menjadi perakam sejak kecil. Cerita-cerita mereka ada kalanya tenggelam timbul dan hilang jika tidak kembali mencatat dan berkongsi kebaikan itu. Saya menurunkan kembali ceritanya di sini – al-Kurauwi

Teruskan membaca

HSKU 2011 : 18 CERPEN TERBAIK REMAJA

DARIPADA 18 buah cerpen terbaik  hanya 14 buah cerpen boleh dirujuk sumbernya di laman utusanonline.  Mari belajar bagaimana mereka mencipta karya; teknik, tema dan isu yang dipilih. Semoga cerpen yang terbaik sepanjang 2011 ini, dapat dijadikan panduan dan rujukan kepada para penulis. Cerpen-cerpen terbaik kategori remaja adalah seperti yang berikut:

1. Dayangku Mastura – Bakau Tetap Teguh  
2. Zaniffa Azzura Allah @ Abdullah – Talia dan Raksasa Qadqad
3. Nazri Hussein  – Tukang Sejarah
4. Che Soo Ismail – Banjir di Mata Emak
5.  Zainal Rashid Ahmad – Cerita Akhir Tahun
6. Dayangku Mastura – Harum Kasih Daun Irik
7. Nazri Hussein – Kalbu Adam di Tahun Baru
8. Mohd Helmi Ahmad – Kuih Bakul Limau Mandarin
9. Salina Ibrahim – Menuai Emas 
10. Muhammad Harya Ramdhoni – Penembak Misteri di Front Kemelak-Sepancar 
11.  A. Muziru Idham – Sebelum Hujan Luruh 
12. Shapiai Muhammad Ramli – Membaca Takdir
13.  Muzaf Ahmad – Teraju Tiga 
14. Muzaf Ahmad –Tenda Harapan 
15.  Wan Marzuki Wan Ramli – E-mel ke Salzburg 
16. Ali Bukhari Amir –  Gerhana Kampus  
17. Nimoiz T.Y  – Angah, Nenek & Merdeka 
18. Che Soo Ismail –  Baju Emak di Tengah Bendang