MANIS YANG KE-7

Buku kaedah belajar jawi-4(1)

SYUKUR sesudah buku yang pertama terbit, “Tinta Elipsis”, semangat menulis tidak pernah putus hingga muncul pula buku kedua novel “Insyirah”. Buku ketiga “Punya Cinta Ramadan” masih dalam penulisan genre yang sama iaitu genre novel dan kemudiannya terbit buku keempat “Namaku Bukan Maria”. Buku yang kelima ialah sebuah buku yang mengumpulkan koleksi cerpen iaitu “Di Dadanya Kalam Tuhan”. Akhirnya muncul pula buku keenam, “Penenun Cinta”. Namun buku keenam ini biarpun siap awal dan memenangi hadiah sayembara namun masih diusahakan penerbitannya.

Buku yang ketujuh ini ialah sebuah buku yang berbeza langsung genre berbanding buku terdahulu. Ia sebuah buku ilmiah yang lahir daripada rahim kerjaya yang berkait rapat dengan tugasan utama di Dewan Bahasa dan Pustaka. Idea buku “Kaedah Pembelajaran Jawi” disuarakan sendiri oleh YBhg Dato’ Raslin bin Abu Bakar, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia. Buku ini dihasilkan menerusi kerjasama pintar antara Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) dan Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 2 Jun 2012 menerusi Rancangan Klinik Jawi di Radio IKIMfm.

kaedah Pembelajaran Jawi

Program ini (ketika artikel ini ditulis, ia masih bersiaran) telah bersiaran pada setiap hari Sabtu, jam 10.00 pagi dengan dibantu oleh rakan belajar Dj Suffian bin Amrin, penyampai radio IKIMfm sendiri. Siaran ulangannya pula pada setiap hari Ahad jam 10.00 malam.

Dalam tempoh yang terhad antara 15-30 minit bersiaran ke udara, buku ini menghimpunkan nota-nota pembelajaran Klinik Jawi Peringkat Asas yang dimuat naik ke laman sesawang PNM sebagai panduan kepada para pendengar radio. Buku ini ditulis dalam dua versi tulisan iaitu Jawi dan rumi. Bagi tuan puan dan sahabat-sahabat yang berminat untuk mendapatkan buku ini boleh dapatkan terus dari Perpustakaan Negara Malaysia atau dengan menghubungi saya melalui e-mel azman_a@dbp.gov.my dengan harga RM30 (tidak termasuk harga pos). Selamat membaca! – al-Kurauwi

 

 

CINTA SERAPUH IKAN TAHAI

Ikan Tahai

CINTA berputik setelah beberapa siri Bengkel Pengkaedahan Tulisan Jawi hasil kerjasama pintar  Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Kuala Lumpur. Lanjutan daripada program dengan MAIWP Kuala Lumpur beberapa cadangan mahu dibawa menyeberang laut. Hinggalah takdir Tuhan untuk bertemu tertunai sudah biarpun tertangguh beberapa kali.

Biarpun saya mengharapkan Bengkel Pembelajaran Awal Jawi dilangsungkan di Labuan (tanah yang belum pernah saya jejak) namun tiada kurangnya Pekan Lawas. Betapa terasa kecilnya saya, dan besarnya jajahan bumi milik Tuhan. Biarpun jauh pedalaman, namun pekannya masih hidup dengan pembangunan yang tidak kurang rancaknya. Perjalanan yang jauh lagi panjang dan mendenbarkan menukar pening dan penat kepada bahagia kerana buat kali pertamanya bertemu dengan guru-guru dedikasi yang mewakili Tadika Islam di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Labuan.

Tiada hadiah yang lebih bermakna daripada pertemuan yang singkat namun manis itu. Sejauh pertemuan ini, saya bersyukur kepada Tuhan dengan sedikit sumbangan yang diberi dihargai. Bak ikan tahai yang disalai – seperti ikan bilis (terima kasih juga atas hadiah yang diberikan oleh Kekanda Mahsuri – tidaklah cantik mana, rapuh dan sedikit berbau (disalai) namun biarpun rapuh tetap sedap dan enak bila dimakan. – al-Kurauwi

TERBANG KE LAWAS

Lawas, Sarawak

ESOK, saya akan melalui perjalanan paling jauh di tanah air sendiri iaitu ke Lawas, Sarawak. Berasaskan maklumat di laman sesawang, Lawas ialah sebuah pekan kecil yang  berlatarbelakangkan banjaran Gunung Crocker. Ia mengambil masa 45 minit dari Miri, menggunakan pesawat kecil (Mungkin Mas Wings). Untuk sampai ke Lawas mesti terlebih dahulu melintasi Brunei. Kedudukannya terletak di antara Brunei dengan Sabah, di koridor timur laut Sarawak. Moga cuaca baik.

Tidak pernah terfikir sejauh ini saya akan terbang. Segala-galanya demi memanjangkan pengalaman memenuhi hasrat guru-guru Tadika Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan untuk berkongsi kaedah Ejaan Jawi. Terima kasih atas jemputan. Tentu banyak kisah yang menarik mahu saya kongsikan daripada perjalanan sejauh ini yang bakal saya lalui. Allhumma yassir! al-Kurauwi

MENGAJAR SI BUTA

SAYA tiada pengalaman mengajar orang buta (hari ini disebut OKU Penglihatan). “Mereka rendah diri dan sensitif!” Kongsi kawan saya sewaktu mengendalikan sebuah bengkel penulisan untuk warga OKU penglihatan di Hotel Brisdale, Kuala Lumpur. (Satu-satunya hotel yang mesra OKU Penglihatan). “Jika mahu bertanya atau meminta pandangan, tubuh mereka hendaklah disentuh.” Tambah kawan saya lagi. Rupanya mereka yang  mengalami penglihatan terhad di kedua-dua belah mata turut dikategorikan sebagai OKU Penglihatan.

Sewaktu diberi kesempatan mengendalikan sebuah Klinik Jawi kepada saudara baharu di PNM, tahun lalu, saya bermula dengan gugup. Mereka melihat wajah saya yang gugup. Tidak tahu serendah mana aras pembelajaran Jawi yang patut saya pilih. Bimbang andai tersalah memilih bahasa. Segala bimbang saya langsung tidak berasas apabila mereka dapat menguasai asas Jawi dengan baik. Dari tidak boleh menulis hingga boleh menulis dengan baik. Saya buat kesimpulan, mata mereka hanya rabun, namun hati terang bercahaya.

Mengendalikan Klinik Jawi di konti radio bagai mengajar kepada khalayak yang buta (yakni tiada di hadapan mata). Sudahlah Jawi semakin hilang daripada pandangan kita, mengajar orang yang ‘buta’ Jawi, tentulah cabaran besar bagi saya. Masakan sama dengan mengajar saudara baharu kita tadi. Cuma saya berharap hanya hati kita terus terang. Belajar dengan hati. Buta mata, kita hanya kehilangan cahaya, buta hati kita akan hilang jati diri. – al-Kurauwi

AL-QURAN BERGULUNG

NASKHAH al-Quran yang diselak setiap muka surat sama ada bersaiz paling besar mahupun paling kecil, sangat biasa kita lihat. Bagaimana jika al-Quran bergulung? Membacanya tidak lagi menggeleng tetapi mengangguk. Yang pasti kita memerlukan ruang yang luas untuk membuka gulungannya.

Jumaat yang lalu, saya diberi kesempatan melihat koleksi manuskrip dan barang lama daripada seorang pengumpul peribadi Encik Ruslan bin Abdul Hamid dari Kunjungan semarak Sdn. Bhd. untuk Pusat Dokumentasi Melayu, DBP. Meremang bulu tengkok kerana kagum melihat khazanah Melayu dahulu yang hebat bertulisan Jawi. Kata Encik Ruslan, enam bulan sebulan Tsunami melanda Acheh, berpeti-peti manuskrip dibawa masuk ke negara-negara yang berdekatan. Alim ulama kita bagai terhidu musibah yang bakal melanda. Masya-Allah! 

Al-Quran bergulung di atas, tidak dapat ditentukan tahun dan siapa penulisnya. Paling atas ialah pengikat al-Quran yang dibuat daripada kulit lembu. Naskhah bertulis tangan itu, mengandungi keseluruhan surah dengan ayat-ayat al-Quran tanpa baris. Saya meneka, barangkali digunakan oleh alim ulama dahulu atau para huffaz sebagai bahan sokongan kepada hafalan mereka. Wallahu Taala ‘Alam. Saya bercita-cita mahu menjadi kolektor – al-Kurauwi

 

PANTAS JAWI DI PUTRAJAYA

“Pertandingan Pantas Jawi dapat memupuk generasi pelajar mempelajari tulisan Jawi dan menjadikannya suatu mata pelajar yang menyeronokkan. Pertandingan ini juga menjadi platform kepada usaha memperkasakan penguasaan pelajar dalam tulisan Jawi sama ada dalam bacaan atau tulisan, dan seterusnya memartabatkan Jawi sebagai warisan peradaban bangsa yang unggul.”

– Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 ini, esok tibalah acaranya, sesudah bertungkus-lumus, moga Tuhan mempermudahkan segala urusan. – al-Kurauwi

EJAWI.NET KELIRUKAN MAHIR JAWI?

UCAPAN PENGHARGAAN wajar saya panjangkan kepada pemudah cara Program Mahir Jawi di TV9, Ustaz Mohd Safwan Syafiq kerana menyedari kekurangan “Mahir Jawi” setelah menemui khalayak anak-anak kita setiap petang 7.30 -8.00 malam, Isnin – Jumaat di Raudhah TV9.

Berasaskan jawapan beliau di ruangan respons “Mahir Jawi Mengelirukan” ternyata beliau dan produksi “Mahir Jawi” rupanya banyak merujuk mesin pengimbas atau sejenis perisian yang menukar ejaan rumi kepada Jawi. Saya tidak salahkan beliau, namun tidak wajar dijadikan alasan. Saya tidak pasti perisian apa yang pihak produksi gunakan. Saya cuba bandingkan dengan perisian Ejawi.net yang kerap menjadi rujukan pengguna Jawi.

Nah, cuba perhatikan perkataan persembahan, ais, umpama, cair dan pekerjaan sememangnya diimbas secara salah tetapi tidak bagi perkataan rancangan, jingga (tanpa alif, cuma bentuk kaf sahaja tidak tepat) dan bahasa.

Buat Ustaz Safwan, nasihat saya, mesin pengimbas bukanlah jawapan tuntas kepada “Mahir Jawi”. Perisian ini hanyalah membantu mempercepatkan penulisannya sahaja sedangkan ilmu ‘Jawi’nya hendaklah dipelajari sungguh-sungguh.  Sekurang-kurangnya rujuklah kepada Daftar Kata Rumi-Jawi, tidak yang diterbitkan oleh DBP pun, pihak produksi boleh merujuk kepada buku-buku daftar atau kamus yang banyak di pasaran. Pertanyaan lain yang dibangkitkan oleh beliau  akan saya kupas di Klinik Jawi dari semasa ke semasa. al-Kurauwi