NIKMAT MENERIMA TANPA MEMINTA

Nikmat Menerima

SEMALAM dalam perjalanan pulang, di sebuah lorong perjalan kaki, saya melihat seorang ibu gelandangan menyandarkan tulang belakang ke sebuah dinding bank dengan tubuhnya yang letih metah. Tiga orang anaknya; seorang dipangkunya di atas ribaan manakala dua orang lagi anaknya; seorang lelaki dan seorang perempuan girang bermain kejar-kejar. Hujan baru sahaja berhenti, lampu neon membiaskan wajah etnik wanita ini. Saya meneka, beliau wanita Muslimah dari Myanmar.

Yang berbeza, wanita ini tidak menadah tangannya untuk meminta-minta kepada pejalan kaki seperti kebiasaan yang saya lihat. Di sini, saya perhatikan ramai wanita yang mempergunakan anak-anak untuk meraih simpati di sepanjang deretan kedai-kedai di situ.

Keluar dari pintu mesin bank automatik itu saya berselisih dengan seorang lelaki berketurunan Arab. Lelaki itu pantas menghulurkan sekeping wang kertas yang masih baharu dari koceknya. Biasan warna neon dan gelap malam yang hambar menyebabkan saya gagal meneka nilainya. Wanita itu menerima dengan terpinga-pinga. Wajahnya berseri-seri. Bagai seorang hafiz yang menekuni hafazannya, saya lihat wanita itu menghenjutkan tangannya dengan bahasa doa yang tidak saya mengerti. Mungkin memanifestasikan syukur yang tidak terperi dek nikmat pemberian tanpa diminta.

—-

Indahnya nikmat menerima tanpa meminta itu saya rasai sendiri. Sebelum kuliah tengah hari tadi, sekeping sampul surat tercatat nama saya tegak tersandar di balik sebiji pasu bunga comel betul-betul di atas meja kuliah. Saya tidak mahu meneka kerana percaya kandungannya berupa sekeping cek yang dibayar oleh penganjur setiap bulan. Kuliah memenuhi rutin seperti biasa sehingga sempurna zolat zuhur berjemaah. Pulang dari kuliah, saya dapati rupa-rupanya sampul surat panjang itu bukanlah cek seperti yang saya sangka tetapi mengandungi tiga keping wang kertas RM50 bersama-sama dengan sehelai nota. Nota itu bertulis tangan daripada seorang ibu:

“Tiada tujuan tertentu dengan pemberian yang tidak seberapanya ini, sekadar ‘token of appreciation’ for what you’re given to me, ilmu pengetahuan, perhatian dari seorang guru etc.. Biarpun begitu saya selalu yakin bahawa ‘rezeki Allah untuk dikongsi bersama'”

Allahuakbar! saya diam lama mencicip manisnya menerima rezeki tanpa meminta-minta. Aduh, saya sebak. Tiba-tiba saya teringat wanita Muslimah yang saya temui malam tadi, saya dapat rasa perasaan yang sama seperti yang dirasai oleh ibu tiga anak itu. Lidah pujian dan syukur melantun-lantun dari dinding kalbu. Bibir basah menyebut nama Allah. Saya percaya, Tuhanlah yang memberi kepada hamba-Nya segala nikmat yang berhak untuk dia menerima. – al-Kurauwi  

 

 

SUAMINYA, SAHABAT KAMI

Suaminya, kawan kami1

WANITA TANPA SUAMI itu bukanlah berpisah kerana diceraikan. Mereka berpisah kerana suaminya sakit. Sakit sungguh-sungguh! Mati-mati kami – rakan-rakan suaminya – menyangka – menerusi Whats App dan Facebook yang tidak punya ekspresi wajah itu, suaminya hanya sakit biasa-biasa sahaja. Dengan lain perkataan, sakit yang boleh dirawat dengan nasihat doktor dan ubat-ubatan. Rupa-rupanya, sakit yang tertangkap oleh telinga kami, sakit yang sangat berat untuk ditanggung oleh seorang isteri yang bekerja; menanggung segala kehidupan dengan tiga orang anak yang masih kecil.

Berat mata kami memandang, namun tidak terbias dugaan itu ke wajah wanita di hadapan kami. Dia tenang dan sabar; kelihatannya gagah tidak seperti wanita lain. Kami bertemu di sebuah restoran setelah lama memujuk untuk bertemu. Setelah menghulurkan sumbangan yang dikumpulkan daripada rakan-rakannya yang lain, kami memasang telinga mendengar perkhabaran terkini sahabat kami itu. Yang menjadi tanda tanya, ke mana hilangnya si suami, apa yang berlaku dan mengapa beliau terlalu berahsia. Persoalan yang berlegar itu mahu kami dapatkan jawapan dengan segera.

Beliau memesan segelas teh tarik, saya mencicip segelas nescafe yang sudah semakin dingin dek menunggu. Sahabat saya yang seorang lagi gagal menyudahkan sekeping roti canai apabila wanita itu mula membuka mulut. “Saya asalnya bimbang untuk bertemu. Bimbang nanti mengaibkan suami.” Wanita itu membuka hatinya ke telinga kami. “Suami puan, kawan kami,” pujuk saya. “Selain puan dan anak-anak, kami rakan-rakan beliau yang rapat.” Wanita itu pada mulanya resah dan kelihatan serba salah, terpujuk juga akhirnya. “Sejak dia kehilangan ayah, sejak dia menyangka dirinya ada saka, sejak dia bertemu dengan satu kumpulan tarekat kononnya boleh membuang saka keluarga, maka sejak itulah dia berubah. Sejak itulah kami terasa kehilangannya.”

Benarlah, suaminya sedang sakit ‘tenat’. Itu yang kami simpulkan. Atas nasihat seorang ustaz, suaminya sudah dihantar ke sebuah pusat rawatan jauh daripada rumah dan anak-anaknya. “Saya mahu suami saya kembali normal,” tambahnya lagi. “Pada masa yang sama, saya tidak mahu menyusahkan orang lain.” Kami kehilangan kata-kata bukan kerana kejujurannya sahaja bahkan kami sendiri mengakui bahawa sahabat kami itu memang sudah tiada punya siapa. Tanpa kasih sayang ibu bapa dek perceraian dan tanpa adik beradik yang tidak bertemu sejak kecil.

Wanita itu hanyalah seorang isteri kepada sahabat kami. Kami hanyalah sahabatnya. Tuhan tahu resah hati seorang isteri dan gelisah kami sahabat-sahabatnya. Tidak pula kami bertanya, kenapa Tuhan timpakan ujian besar ini kepada keluarga serba kecil dan kerdil ini melainkan kami yakin mereka sedang memerlukan rahmat dan ihsan Tuhan lebih daripada baris-baris jawapan yang tidak mampu kami berikan. – al-Kurauwi

SENDAWA

sendawa

LELAKI yang menjadi jiran solat isyak saya sebentar tadi sekadar mengucapkan, “terima kasih”, selepas sedikit teguran itu. Beliau terpinga-pinga namun tidak pula bertanya panjang dan saya tidak mahu menunggu lama, lalu bergegas meninggalkan Masjid al-Akram.

Saya menunggu lelaki itu hingga ke luar masjid. Sebaik sahaja usai solat, saya tak sempat menahan geraknya. Beliau pantas meninggalkan kami menyerahkan tugas amin daripada  doa yang dibacakan oleh imam. Saya perhatikan, bukan dalam solat fardu sahaja sendawanya kedengaran, malah solat sunat ba’diyah juga berulang-ulang sebelum pulang.

Saya memohon kepada Tuhan agar bekukan kaki lelaki itu seketika agar dapat dibisikkan ke pengetahuannya betapa kami terganggu dengan perbuatannya.

Ketika itu, saya sempat rakaat biarpun tidak sekali takbiratulihram dengan imam. Beliau lebih dahulu mendapatkan imam di saf yang paling belakang. Sebaik sempurna takbiratulihram, imam sudah melengkapkan surah al-Dhuhanya. Saya segera rukuk. Sebaik sahaja iktidal, sendawa lelaki itu mula kedengaran. Tiada usaha untuk menahan angin, bagai dibuat-buat agar sendawanya segera keluar. Setiap kali berubah pergerakan, sendawanya mengusik khusyuk kami dan jemaah yang berdekatan. Bukan sendawanya sahaja yang mengganggu, bacaan solatnya juga jelas terbias ke telinga kami.

Tuhan ‘menghantar’ saya untuk berdiri di sebelah lelaki seperti ini. Mendengar sendawanya dan mengilhamkan kekuatan untuk menegur. – al-Kurauwi

HIDAYAH YANG TIDAK BEKU

Hidayah

HIDAYAH sungguh milik Allah!

Lelaki yang kerap menjadi makmum itu, bukan saya seorang sahaja yang kenal, bahkan semua makmum di surau saya sangat mengenali. Walaupun namanya lambat melekat namun bila dilukis fizikalnya, mudah tergambar di kepala. Jalannya tempang. Kata seorang jemaah yang berjiran dengan lelaki itu, kaki kanannya cacat sejak kecil lagi. Manakala sebelah kiri sempurna sifatnya.  Barangkali terkena penyakit polio hingga menyebabkan urat saraf kakinya mengecut dan pendek sebelah. Biarpun kakinya cacat, hatinya tak pernah cacat untuk hadir berjemaah. Setiap kali tiba waktu solat, lelaki itu akan datang dengan basikalnya. Apabila hujan, beliau tetap datang dengan membawa kereta Fiat lama. Kami yang sempurna sifat pun tewas dengan segala istiqamahnya.

Cuma yang cacat, saya lihat pada perlakuan solatnya. Mulanya saya tidak tahu kerana kerap berada di hadapan. Apabila sesekali menjadi makmum, saya perhatikan ramai yang mengelak. Kalau diberi pilihan, tiada siapa yang mahu berdiri di sebelahnya. Masakan tidak, sulit sungguh kami lihat solatnya. Takbiratulihramnya berulang kali, al-Fatihahnya, tahiyatnya, tasyahhudnya  seperti sebuah kereta tua yang rosak kotak gearnya. Berulang-ulang pada permulaan ayat. Laju pula membacanya apabila imam mulai bergerak berpindah rukun. Yang lebih menyulitkan jemaah, apabila suaranya sering terangkat tinggi ke telinga kami. “Tegurlah imam,” cadang seorang jemaah. Saya mengangguk bersetuju. Saya lebih bersedia untuk  mengangguk demi menelan hakikat bahawa hidayah Tuhan tidak semudah menegur. Pahit menelan teguran itu tak sesedap menelan ubat!

Seingat saya, bukan sekali saya berpesan. Bertahun-tahun rasanya. Mulanya, pesanan bersifat umum sahaja. Sindiran itu terapung ke telinga semua jemaah kerap saya ulang sebelum mula solat. Kadang-kadang terselit juga sebelum bacaan Yasin dan tahlil. Masuk juga dalam sela-sela majlis tazkirah. Adakalanya tersindir dalam pertanyaan para jemaah sebelum usai kuliah. Namun semua teguran yang bersifat umum dan pernah juga secara peribadi namun tidak tersangkut ke hatinya. Sesudah teguran peribadi itu, kami semakin menjauh. Saya tahu dia terasa. Saya dapat rasa, beliau akan mengelak untuk berdiri di sebelah saya apabila kami sama-sama menjadi makmum. Saya pasrah. namun berdoa juga supaya segera Tuhan lorongkan hidayah.

Suatu malam, kebetulan hanya ada satu ruang di sebelah saya masih kosong. Saya perasan kelibat lelaki itu hadir di belakang. Dia tidak ada pilihan, melainkan memenuhi ruang yang masih berbaki. Kali ini, dia tidak lagi teragak-agak untuk membuat keputusan.  Solatnya saya perasan sudah jauh berubah. Jauh lebih baik. Aman dan nyaman. Saya percaya kantung hatinya sudah basah dipenuhi dengan hidayah yang selama ini menitis setitik demi setitik. Saya tahu, bukan kami yang menumpahkannya. Tuhan juga yang mencairkannya sesudah lama beku. – al-Kurauwi

PENCATAT HARI JADI

Pencatat Hari Jadi

SETIAP KALI ulang tahun kelahiran diraikan, jarang kita terlepas untuk menerima ucapan tahniah daripada insan-insan yang baik dan dekat dengan kita. Bagi yang berjarak jauh seperti adik-beradik atau saudara-mara, merekalah yang terlebih dahulu menghubungi kita atau menghantar ucapan tahniah melalui khidmat pesanan ringkas. Yang dekat, baik suami, isteri dan anak-anak akan meraikannya dengan kegembiraan menerusi ritual kad, kek, kenduri atau hadiah istimewa.

Ketika usia sudah menyusut tempoh kematian ke angka 40, senarai ucapan tahniah pada tanggal 21 Januari lalu terpahat lagi di dinding Facebook yang meninggi setiap jam lalu membenamkan catatan perjalanan 2013 yang dilalui, menenggelamkan perkongsian kata-kata pesanan yang ditandai secara ‘paksa rela’, promosi produk, jualan buku (yang kadang-kadang terpaksa ‘dinyahtagkan’). Daripada segala macam muatan di dinding Facebook, saya terhibur dengan ucapan tahniah daripada sahabat-sahabat yang sebahagian besar mereka, jarang sekali bersua, apatah lagi bertanya khabar memanjangkan ukhuwah.  Daripada sekalian banyak ucapan itu, ada satu ucapan yang mengusik hati saya daripada seorang sahabat Muhammad Imran Ibrahim yang bertugas di Kaherah, Mesir.

Selamat Hari Lahir. Hayati firman Allah dengan kata-kata Nabi Isa a.s yang boleh dibacakan di hari lahir ini: Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari aku dilahirkan, pada hari aku meninggal dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali”. (Surah Maryam, ayat: 33)

Seorang lagi sahabat yang jarang sekali kami bersua dan menyapa. Setiap tahun, beliau tidak pernah terlepas menghantar khidmat pesanan ringkas. Kali ini pesanannya memetik Surah al-Baqarah, ayat :216 yang bermaksud:

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah yang Maha Mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahuinya.” Selamat hari ulang tahun. Barakallah – Shamsul & Sariah

Doa, nasihat dan pesanan sahabat-sahabat sangat saya hargai dan saya rakam di sini hingga nyawa di kandung badan. Hanya ada satu sahaja penyebab yang menghilangkan pencatat hari lahir kita di dinding Facebook iaitu kematian! Biasanya orang yang sudah mati, tidak diraikan lagi hari lahirnya. Dalam tradisi masyarakat kita, mereka yang mati ‘diraikan’ dengan kenduri arwah, bacaan Yasin dan tahlil. Acaranya sedih-sedih sahaja. Insan yang sudah meninggal dunia, kemudian diraikan hari lahirnya saban tahun, bahkan di seluruh dunia Islam hanyalah Baginda Rasulullah SAW dengan pelbagai acara. Kita bukan Nabi, kita hanya pencatat hari jadi, memanjangkan kasih sayang manusiawi demi memperoleh syafaat Baginda Nabi SAW! – al-Kurauwi

KERABAT LELAKI BERJAMBANG

Welcome-To-Ours-

PERKATAAN ‘kerabat’ pantas mengingatkan saya kepada pesan dan nasihat bonda. Sewaktu kecil, ketika kebolehan untuk menjejak ketinggian mahu disandarkan dengan adiwira seperti Tarzan yang pantas memanjat dan bergayut dari satu dahan ke satu dahan kerap mengundang jerit suara bonda. “Ha, kerabat lagi, kerabat lagi!” tegur bonda. Perkataan kerabat itu akan bonda ulang bagai butir tasbih digentel apabila anak-anaknya  menanggung kecelakaan dek aksi adiwira itu.

Namun kata kerabat yang mahu dikongsikan dalam entri kali ini merujuk kepada saudara yakni orang yang seketurunan (sekerabat).  Kebetulan tajuk kuliah maghrib semalam, ada kaitannya dengan makna kata serapan Arab ini.

Kuliah dua bulan sekali itu menggunakan kitab Pendidikan Anak-anak dalam Islam yang ditulis oleh Dr. Abdullah Nasih bin Ulwan. Isi muka surat yang semakin menipis itu saya tekuni ke telinga Jemaah. Kuliah pertama saya di awal tahun baharu ini agak bersemangat kedengarannya. Yang hadir, tidak ramai yang saya kenali mungkin ramai si musafir yang menumpang tiang sementara menunggu masuk fardu isyak. Menyentuh tentang kerabat, hujah syariatnya menarik perhatian jemaah di perut masjid antaranya seorang lelaki berketurunan India Muslim saya lihat membulatkan mata sambil menegakkan cuping telinga:

Teruskan membaca

TAHNIK

Tahnik

PADA AWAL TAHUN 2014 ini, barangkali sudah ditakdirkan saya bertemu dengan dua buah keluarga muda yang baru menyambut kelahiran anak sulung mereka. Tugas kecil pun diminta untuk memenuhi tuntutan sunnah Nabi iaitu mentahnikkan bayi lelaki mereka.

Tahnik I

Dari janji untuk datang di sebelah petang yang melelahkan, akhirnya saya menukar ke sebelah malam yang lebih nyaman. “Selepas maghrib”, tulis saya dalam sms. Sebelum maghrib lagi, si ayah menyambut saya datang di sebuah surau berdekatan. Menantunya yang katanya seorang askar itu tidak kelihatan bersama. Usai maghrib kami segera menapak ke rumahnya berjarak 100 meter sahaja. Sebelum memijak anak tangga rumah, ayahnya sempat meninggalkan pesan ke telinga saya:

“Mohon ustaz berikan sedikit nasihat kepada anak dan menantu saya itu.” Lelaki itu memegang bahu saya. Saya lihat keningnya meninggi. Saya tahu harapannya sangat tinggi.

Tahnik II

Saya dah berjanji untuk datang seusai kelas al-Quran sementelah jemputan turut dipanjangkan kepada ibu-ibu yang turut mengaji al-Quran di kelas yang sama. Yang menjemput ke majlis tahnik keesokan harinya ialah salah seorang murid saya. Ketika anaknya berkahwin dahulu, saya tidak hadir kerana tugasan di luar kawasan. Oleh sebab itu wajah menantunya tidak melekat di ingatan. Walaupun kami setaman, namun wajah menantunya tidak tertangkap tubuhnya di surau sedangkan jarak antara rumahnya dengan surau hanya 100 meter sahaja. Sebelum memijak anak tangga rumahnya, saya tergerak hati untuk meninggalkan sedikit pesan ke telinga tuan rumah:

“Mohon izin dapat saya berikan sedikit nasihat kepada anak-anak dan menantu makcikitu.” Dia mengangguk. Saya tahu dia dapat menebak apa yang tersirat di hati saya.

Kedua-dua acara saya jalankan dengan ringkas sahaja. Kurma yang dilenyekkan dengan air zamzam untuk melembutkan isinya, kemudian sedikit madu dan sesudu dua air zamzam. Yang sedikit panjang, saya titipkan pesan nasihat.

“Anak yang soleh bukan datang daripada keberkatan ustaz yang mentahnikkan anak. Air liur atau tangan ustaz tidak boleh membawa berkat kepada anak. Anak soleh datang daripada tangan ibu bapanya yang soleh dan solehah.”

Laku kedua-dua anak muda itu, saya lihat sama. Arahannya juga sama. Saya minta mereka sendiri meribakan anak lelaki mereka. Mereka kelihatan gugup dan berat memeluk sosok tubuh yang kecil dalam dakapan. Saya mahu mereka merasai beratnya tanggungjawab sebagai seorang ayah.

“Membuat anak tidak sesukar mendidik mereka kerana anak yang soleh tidak boleh diwarisi”, sambung saya lagi. Saya tambah dengan  kisah Sayidina Umar al-Khattab dalam kitab Pendidikan Anak-anak Dalam Islam oleh Dr. Abdullah Nasih bin Ulwan. Kisahnya tentang aduan seorang ayah mengenai anaknya kepada Sayidina Umar kerana anaknya tidak mahu taat dan mengabaikan hak anak kepada seorang ayah. Lalu anak itu bertanya pula kepada Sayidina Umar, apakah hak seorang ayah kepada anaknya? Jawab Umar, ada tiga hak anak-anak yang wajib dipenuhi oleh bapa, Memilih ibu daripada keturunan yang baik, menamakan anak dengan nama yang baik dan mendidiknya mengenal al-Quran. Malangnya ketiga-tiga tanggungjawab itu gagal dipenuhi oleh seorang ayah.

Saya tutup pesan saya kepada kedua-dua ayah baharu itu sama seperti pesan Sayidina Umar, “Engkau datang kepadaku mengadukan penderhakaan anakmu, sebenarnya engkaulah yang telah menderhakai anakmu sebelum anakmu menderhakaimu sendiri. Engkaulah yang telah merosakkannya sebelum dia merosakkanmu!” – al-Kurauwi