PERKATAAN ‘kerabat’ pantas mengingatkan saya kepada pesan dan nasihat bonda. Sewaktu kecil, ketika kebolehan untuk menjejak ketinggian mahu disandarkan dengan adiwira seperti Tarzan yang pantas memanjat dan bergayut dari satu dahan ke satu dahan kerap mengundang jerit suara bonda. “Ha, kerabat lagi, kerabat lagi!” tegur bonda. Perkataan kerabat itu akan bonda ulang bagai butir tasbih digentel apabila anak-anaknya menanggung kecelakaan dek aksi adiwira itu.
Namun kata kerabat yang mahu dikongsikan dalam entri kali ini merujuk kepada saudara yakni orang yang seketurunan (sekerabat). Kebetulan tajuk kuliah maghrib semalam, ada kaitannya dengan makna kata serapan Arab ini.
Kuliah dua bulan sekali itu menggunakan kitab Pendidikan Anak-anak dalam Islam yang ditulis oleh Dr. Abdullah Nasih bin Ulwan. Isi muka surat yang semakin menipis itu saya tekuni ke telinga Jemaah. Kuliah pertama saya di awal tahun baharu ini agak bersemangat kedengarannya. Yang hadir, tidak ramai yang saya kenali mungkin ramai si musafir yang menumpang tiang sementara menunggu masuk fardu isyak. Menyentuh tentang kerabat, hujah syariatnya menarik perhatian jemaah di perut masjid antaranya seorang lelaki berketurunan India Muslim saya lihat membulatkan mata sambil menegakkan cuping telinga: