PERAKAM ALAM

  Perakam

Tuhanku, kami hanyalah perakam alam;
Dek kagum hijau sawah,
kuning air nan mewah,
Biru gunung sejantung,
lembah subur buat pemakmur.

Tuhanku, kami hanyalah pengagum;
Sekadar yang terakam oleh mata,
Tertangkap akan telinga,
Dek pesona indera yang jatuh ke sukma.
Benarlah titip sekalian pendeta bahawa
Segala yang indah tercipta,
hanyalah perhiasan dunia sementara.
Al-Kurauwi
Sedaka, Kedah.
6 Jun 2014

 

MANIS YANG KE-7

Buku kaedah belajar jawi-4(1)

SYUKUR sesudah buku yang pertama terbit, “Tinta Elipsis”, semangat menulis tidak pernah putus hingga muncul pula buku kedua novel “Insyirah”. Buku ketiga “Punya Cinta Ramadan” masih dalam penulisan genre yang sama iaitu genre novel dan kemudiannya terbit buku keempat “Namaku Bukan Maria”. Buku yang kelima ialah sebuah buku yang mengumpulkan koleksi cerpen iaitu “Di Dadanya Kalam Tuhan”. Akhirnya muncul pula buku keenam, “Penenun Cinta”. Namun buku keenam ini biarpun siap awal dan memenangi hadiah sayembara namun masih diusahakan penerbitannya.

Buku yang ketujuh ini ialah sebuah buku yang berbeza langsung genre berbanding buku terdahulu. Ia sebuah buku ilmiah yang lahir daripada rahim kerjaya yang berkait rapat dengan tugasan utama di Dewan Bahasa dan Pustaka. Idea buku “Kaedah Pembelajaran Jawi” disuarakan sendiri oleh YBhg Dato’ Raslin bin Abu Bakar, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia. Buku ini dihasilkan menerusi kerjasama pintar antara Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) dan Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 2 Jun 2012 menerusi Rancangan Klinik Jawi di Radio IKIMfm.

kaedah Pembelajaran Jawi

Program ini (ketika artikel ini ditulis, ia masih bersiaran) telah bersiaran pada setiap hari Sabtu, jam 10.00 pagi dengan dibantu oleh rakan belajar Dj Suffian bin Amrin, penyampai radio IKIMfm sendiri. Siaran ulangannya pula pada setiap hari Ahad jam 10.00 malam.

Dalam tempoh yang terhad antara 15-30 minit bersiaran ke udara, buku ini menghimpunkan nota-nota pembelajaran Klinik Jawi Peringkat Asas yang dimuat naik ke laman sesawang PNM sebagai panduan kepada para pendengar radio. Buku ini ditulis dalam dua versi tulisan iaitu Jawi dan rumi. Bagi tuan puan dan sahabat-sahabat yang berminat untuk mendapatkan buku ini boleh dapatkan terus dari Perpustakaan Negara Malaysia atau dengan menghubungi saya melalui e-mel azman_a@dbp.gov.my dengan harga RM30 (tidak termasuk harga pos). Selamat membaca! – al-Kurauwi

 

 

ADEGAN BERAHI PANCING PEMBACA?

Adegan Berahi

Isu: “Benarkah novel popular menggunakan formula tema cinta keterlaluan dengan unsur berahi dan elemen seks untuk menarik pembaca?” Apa pula pandangan ustaz mengenainya daripada sudut Islam, adakah ia bertentangan dengan syariat dan bagaimana ia boleh mempengaruhi pembaca,”

1) Boleh Ustaz ulas secara ringkas dan padat mengenai isu yang dikemukakan di atas?

Isu novel yang menggunakan formula tema cinta keterlaluan dengan unsur berahi dan elemen seks untuk menarik pembaca bukanlah isu baharu. Seingat saya, pernah diterbitkan novel-novel bersiri oleh Syarikat Amir Enterprise, “Siri Kisah Cinta” 1970-an dan Novel Mona Gersang yang cukup popular awal 80-an dulu.

Bagi saya, novel yang menggunakan formula tema cinta keterlaluan dengan unsur berahi dan elemen seks ialah novel erotik atau picisan. Mungkin, tidak semua novel yang popular itu erotik. Cuma novel yang menggunakan pendekatan seks sama ada popular atau erotik kedua-duanya bertentangan dengan syariat dan boleh mempengaruhi pembaca.

2) Ada sesetengah pihak menganggap elemen cinta terutama babak romantik antara pasangan bercinta atau suami isteri dalam novel cinta semasa semakin keterlaluan dan tidak sesuai serta boleh mendorong pembaca terutama golongan muda @ remaja yang secara tak langsung ingin mencuba, sekali gus terjerumus dalam gejala sosial. Apa pandangan ustaz?

Saya bersetuju bahawa ada sesetengah penulis sengaja memasukkan elemen cinta, sama ada cinta halal atau cinta terlarang dan ada kalanya digambarkan berlebih-lebihan. Biarpun wataknya suami isteri, babak-babak romantik dengan sengaja disuntik sebagai pelaris. Novel seperti ini sama ada popular atau tidak, sudah pastilah membangkitkan ghairah dan melekakan. Kadang-kadang untuk mewajarkan ‘kebaikan’nya, satu dua bab terakhir digambarkan watak ini bertaubat dan menyesali dosa terlampau mereka. Novel seperti ini akhirnya mendorong pembaca terutamanya remaja membuat tanggapan bahawa berdosa-dosa dahulu, apabila sudah tua baru bartaubat!

3) Boleh Ustaz terangkan tanggungjawab penulis dalam menghasilkan karya, bukan saja memberi hiburan dan ilmu kepada pembaca tetapi juga membawa kisah yang tinggi nilai moral sekali gus membawa pembaca ke jalan yang benar.

Penulis ialah pencatat, catatannya dibaca orang. Segala apa yang dicatatkan akan dipertanggungjawabkan.

Penulis ialah pencatat, catatannya dibaca orang. Segala apa yang dicatatkan akan dipertanggungjawabkan. Oleh sebab itu, Tuhan menugaskan malaikat Raqib dan Atid sebagai pencatat. Sebagai penulis, tulislah yang baik-baik agar kesannya sampai kepada pembaca juga baik-baik. Dengan itu, malaikat akan mencatat yang baik-baik untuk kita. Catatan yang buruk akan dibalas buruk malah akan diperlihatkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Teruskan membaca

NIKMAT MENERIMA TANPA MEMINTA

Nikmat Menerima

SEMALAM dalam perjalanan pulang, di sebuah lorong perjalan kaki, saya melihat seorang ibu gelandangan menyandarkan tulang belakang ke sebuah dinding bank dengan tubuhnya yang letih metah. Tiga orang anaknya; seorang dipangkunya di atas ribaan manakala dua orang lagi anaknya; seorang lelaki dan seorang perempuan girang bermain kejar-kejar. Hujan baru sahaja berhenti, lampu neon membiaskan wajah etnik wanita ini. Saya meneka, beliau wanita Muslimah dari Myanmar.

Yang berbeza, wanita ini tidak menadah tangannya untuk meminta-minta kepada pejalan kaki seperti kebiasaan yang saya lihat. Di sini, saya perhatikan ramai wanita yang mempergunakan anak-anak untuk meraih simpati di sepanjang deretan kedai-kedai di situ.

Keluar dari pintu mesin bank automatik itu saya berselisih dengan seorang lelaki berketurunan Arab. Lelaki itu pantas menghulurkan sekeping wang kertas yang masih baharu dari koceknya. Biasan warna neon dan gelap malam yang hambar menyebabkan saya gagal meneka nilainya. Wanita itu menerima dengan terpinga-pinga. Wajahnya berseri-seri. Bagai seorang hafiz yang menekuni hafazannya, saya lihat wanita itu menghenjutkan tangannya dengan bahasa doa yang tidak saya mengerti. Mungkin memanifestasikan syukur yang tidak terperi dek nikmat pemberian tanpa diminta.

—-

Indahnya nikmat menerima tanpa meminta itu saya rasai sendiri. Sebelum kuliah tengah hari tadi, sekeping sampul surat tercatat nama saya tegak tersandar di balik sebiji pasu bunga comel betul-betul di atas meja kuliah. Saya tidak mahu meneka kerana percaya kandungannya berupa sekeping cek yang dibayar oleh penganjur setiap bulan. Kuliah memenuhi rutin seperti biasa sehingga sempurna zolat zuhur berjemaah. Pulang dari kuliah, saya dapati rupa-rupanya sampul surat panjang itu bukanlah cek seperti yang saya sangka tetapi mengandungi tiga keping wang kertas RM50 bersama-sama dengan sehelai nota. Nota itu bertulis tangan daripada seorang ibu:

“Tiada tujuan tertentu dengan pemberian yang tidak seberapanya ini, sekadar ‘token of appreciation’ for what you’re given to me, ilmu pengetahuan, perhatian dari seorang guru etc.. Biarpun begitu saya selalu yakin bahawa ‘rezeki Allah untuk dikongsi bersama'”

Allahuakbar! saya diam lama mencicip manisnya menerima rezeki tanpa meminta-minta. Aduh, saya sebak. Tiba-tiba saya teringat wanita Muslimah yang saya temui malam tadi, saya dapat rasa perasaan yang sama seperti yang dirasai oleh ibu tiga anak itu. Lidah pujian dan syukur melantun-lantun dari dinding kalbu. Bibir basah menyebut nama Allah. Saya percaya, Tuhanlah yang memberi kepada hamba-Nya segala nikmat yang berhak untuk dia menerima. – al-Kurauwi  

 

 

SUAMINYA, SAHABAT KAMI

Suaminya, kawan kami1

WANITA TANPA SUAMI itu bukanlah berpisah kerana diceraikan. Mereka berpisah kerana suaminya sakit. Sakit sungguh-sungguh! Mati-mati kami – rakan-rakan suaminya – menyangka – menerusi Whats App dan Facebook yang tidak punya ekspresi wajah itu, suaminya hanya sakit biasa-biasa sahaja. Dengan lain perkataan, sakit yang boleh dirawat dengan nasihat doktor dan ubat-ubatan. Rupa-rupanya, sakit yang tertangkap oleh telinga kami, sakit yang sangat berat untuk ditanggung oleh seorang isteri yang bekerja; menanggung segala kehidupan dengan tiga orang anak yang masih kecil.

Berat mata kami memandang, namun tidak terbias dugaan itu ke wajah wanita di hadapan kami. Dia tenang dan sabar; kelihatannya gagah tidak seperti wanita lain. Kami bertemu di sebuah restoran setelah lama memujuk untuk bertemu. Setelah menghulurkan sumbangan yang dikumpulkan daripada rakan-rakannya yang lain, kami memasang telinga mendengar perkhabaran terkini sahabat kami itu. Yang menjadi tanda tanya, ke mana hilangnya si suami, apa yang berlaku dan mengapa beliau terlalu berahsia. Persoalan yang berlegar itu mahu kami dapatkan jawapan dengan segera.

Beliau memesan segelas teh tarik, saya mencicip segelas nescafe yang sudah semakin dingin dek menunggu. Sahabat saya yang seorang lagi gagal menyudahkan sekeping roti canai apabila wanita itu mula membuka mulut. “Saya asalnya bimbang untuk bertemu. Bimbang nanti mengaibkan suami.” Wanita itu membuka hatinya ke telinga kami. “Suami puan, kawan kami,” pujuk saya. “Selain puan dan anak-anak, kami rakan-rakan beliau yang rapat.” Wanita itu pada mulanya resah dan kelihatan serba salah, terpujuk juga akhirnya. “Sejak dia kehilangan ayah, sejak dia menyangka dirinya ada saka, sejak dia bertemu dengan satu kumpulan tarekat kononnya boleh membuang saka keluarga, maka sejak itulah dia berubah. Sejak itulah kami terasa kehilangannya.”

Benarlah, suaminya sedang sakit ‘tenat’. Itu yang kami simpulkan. Atas nasihat seorang ustaz, suaminya sudah dihantar ke sebuah pusat rawatan jauh daripada rumah dan anak-anaknya. “Saya mahu suami saya kembali normal,” tambahnya lagi. “Pada masa yang sama, saya tidak mahu menyusahkan orang lain.” Kami kehilangan kata-kata bukan kerana kejujurannya sahaja bahkan kami sendiri mengakui bahawa sahabat kami itu memang sudah tiada punya siapa. Tanpa kasih sayang ibu bapa dek perceraian dan tanpa adik beradik yang tidak bertemu sejak kecil.

Wanita itu hanyalah seorang isteri kepada sahabat kami. Kami hanyalah sahabatnya. Tuhan tahu resah hati seorang isteri dan gelisah kami sahabat-sahabatnya. Tidak pula kami bertanya, kenapa Tuhan timpakan ujian besar ini kepada keluarga serba kecil dan kerdil ini melainkan kami yakin mereka sedang memerlukan rahmat dan ihsan Tuhan lebih daripada baris-baris jawapan yang tidak mampu kami berikan. – al-Kurauwi

MANIS YANG TERTINGGAL

Hadiah Sayembara Menulis Novel Citra Malaysia

YANG manis-manis, jarang sekali terlepas daripada ingatan biarpun kadang-kadang tertinggal daripada catatan tinta. Kata guru, yang manis-manis, andai dirakam dalam ingatan semata-mata, akhirnya luput juga. Maka yang manis-manis itu wajar dicatat agar aroma, mata dan lidah yang merasa dapat menikmati lebih lama jangka hayatnya.

Saya sangat bersyukur bahawa dalam dunia penulisan yang cetek, yang manis-manis banyak sudah Tuhan anugerahi. Dari novel pertama, “Tinta Elipsis” lagi, saya sudah merasai alangkah manisnya dapat mengandung dan melahirkan novel sulung, kemudian lahir pula novel kedua, “Insyirah” juga manis kerana meraih kejayaan sulung menerusi Sayembara Menulis Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007. Sesudah dua buah novel itu lahir, betapa manisnya menyambut pula kelahiran “Punya Cinta Ramadan” dan “Namaku Bukan Maria” daripada perut ibu yang baharu. Ini belum masuk kemanisan, lahirnya kumpulan cerpen, “Di Dadanya Kalam Tuhan”.

Hadiah Sayembara Penulisan

Yang manis-manis, dan tertinggal pula catatannya di sini, apabila Tuhan anugerahi pula kemanisan menulis novel saya yang kelima, “Penenun Cinta”. Novel ini ditakdirkan memenangi tempat kedua, Hadiah Sayembara Mengarang Novel Citra Malaysia pada 12 Disember 2013 yang lalu. ‘Lebih manis’, apabila tiada pemenang pertama dinobatkan. Manakala pemenang ketiga ialah Tuan Haji Rahman Yusof dari Pahang dan dua sagu hati oleh penulis Johor, ayahanda Haji Shapiai Mohd Ramly dan kekanda Aminah Mokhtar. Manis, apabila digandingkan dengan ketiga-tiga tokoh penulisan tanah air.

Novel Citra Malaysia

Sesudah catatan ini akan ada lagi yang manis-manis. Yang tertinggal dan manis-manis untuk dicatatkan di sini nantinya ialah manis pula menunggu buku terbit. Doakanlah, semoga lancar sahaja penerbitannya dan sampai ke tangan pembaca dengan wajah-wajah yang manis-manis. – al-Kurauwi

SENDAWA

sendawa

LELAKI yang menjadi jiran solat isyak saya sebentar tadi sekadar mengucapkan, “terima kasih”, selepas sedikit teguran itu. Beliau terpinga-pinga namun tidak pula bertanya panjang dan saya tidak mahu menunggu lama, lalu bergegas meninggalkan Masjid al-Akram.

Saya menunggu lelaki itu hingga ke luar masjid. Sebaik sahaja usai solat, saya tak sempat menahan geraknya. Beliau pantas meninggalkan kami menyerahkan tugas amin daripada  doa yang dibacakan oleh imam. Saya perhatikan, bukan dalam solat fardu sahaja sendawanya kedengaran, malah solat sunat ba’diyah juga berulang-ulang sebelum pulang.

Saya memohon kepada Tuhan agar bekukan kaki lelaki itu seketika agar dapat dibisikkan ke pengetahuannya betapa kami terganggu dengan perbuatannya.

Ketika itu, saya sempat rakaat biarpun tidak sekali takbiratulihram dengan imam. Beliau lebih dahulu mendapatkan imam di saf yang paling belakang. Sebaik sempurna takbiratulihram, imam sudah melengkapkan surah al-Dhuhanya. Saya segera rukuk. Sebaik sahaja iktidal, sendawa lelaki itu mula kedengaran. Tiada usaha untuk menahan angin, bagai dibuat-buat agar sendawanya segera keluar. Setiap kali berubah pergerakan, sendawanya mengusik khusyuk kami dan jemaah yang berdekatan. Bukan sendawanya sahaja yang mengganggu, bacaan solatnya juga jelas terbias ke telinga kami.

Tuhan ‘menghantar’ saya untuk berdiri di sebelah lelaki seperti ini. Mendengar sendawanya dan mengilhamkan kekuatan untuk menegur. – al-Kurauwi