Penulis Kuala Kurau

BARANGKALI semua orang tahu di mana letaknya Kuala Kurau. Pekan kecil di pinggir Sungai Kurau dalam negeri Perak ini lebih dikenali sebagai pekan nelayan. Justeru, sedikit sebanyak ia menyumbang kepada sektor ekonomi negara.

Namun, mungkin tidak ramai yang mengetahui dan menyedari pekan yang terletak dalam daerah Krian ini juga melahirkan insan pemikir kreatif yang turut menyumbang kepada kemajuan negara. Mereka berjasa dalam pembangunan modal insan seperti yang dilaung-laungkan kerajaan sekarang. Setakat ini, ada tiga penulis kelahiran Kuala Kurau yang terkenal dan menabur bakti. Dua daripadanya ialah Jaafar Abdul Rahim dan Pena Mutiara yang sudah mapan, sementara seorang lagi ialah Ibnu Ahmad al-Kurauwi yang sedang membina kekuatan. Ramai yang mengenali Jaafar dan Pena Mutiara. Namun, tidak ramai yang mengetahui mereka berasal dari Kuala Kurau.

Jaafar Abdul Rahim lahir pada 27 November 1950. Beliau memiliki ijazah Sarjana Muda Sastera (Sastera dan Sains Politik) dari Universiti Sains Malaysia dan mula menulis pada 1969. Tulisannya tersiar dalam Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Utusan Melayu, Berita Harian, Berita Minggu, Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Jurnal Dewan, Dian dan Santajiwa.

Jaafar hanya menulis esei dan kritikan. Setakat ini beliau telah menghasilkan buku Misteri Dalam Sains dan Catatan Si Malin Kundang. Menjawab soalan mengapa tidak menulis karya kreatif, Jaafar memberitahu bidang penulisannya adalah deskriptif. Katanya, beliau tidak pernah menulis cerpen.

“Saya hanya menulis sebuah puisi dalam bahasa Inggeris, ‘Let Flower Bloom in the Garden of Cham’ yang dideklamasikan di hadapan orang Cham di California pada Oktober 1996 hasil rasa sedih yang mendalam terhadap penderitaan mereka,” jelas Jaafar.

Bagaimanapun, itu tidak membataskan perjuangan dan sumbangan Jaafar dalam kesusasteraan. Beliau turut memainkan peranan penting. Antaranya ialah sebagai Ketua Satu Persatuan Penulis Kuala Lumpur sejak 1998, Ahli Jawatankuasa Kerja Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (2006-2008) serta bekas Ahli Jawatankuasa Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia dan pernah menganjurkan Dialog Agung Sasterawan Negara pada 2000, 2004 dan 2006.

“Tidak menulis karya kreatif bukan bererti tidak boleh menyumbang apa-apa dalam kemajuan karya tersebut,” tegas beliau.

Walaupun bukan seorang penulis sastera kreatif, Jaafar lebih dikenali sebagai pakar pemikiran kreatif. Beliau kerap diundang memberi ceramah mengenai pemikiran kreatif, pemikiran lateral, pemikiran sinvergen, pemikiran lompatan kuantum dan pemikiran keseluruhan otak di sekolah menengah, universiti dan institut pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara. Jaafar juga banyak menulis dan membentangkan kertas kerja mengenai pemikiran kreatif, lateral serta kritis di universiti dan IPTA. Mengenai minatnya terhadap pemikiran kreatif dan lateral, Jaafar menjelaskan ia bermula pada 1982 akibat kegilaan mengunjungi kedai buku.

“Saya tertarik dengan buku pemikiran tersebut, terutama yang ditulis Edward de Bono. Sementelah pula belum ada pemikiran sedemikian di kalangan orang Melayu,” jelasnya yang juga Ahli Jawatankuasa Protem Persatuan Falsafah Malaysia, Ahli Majlis Pemikir Institut Tradisi Ilmu dan Pakar Perunding Institut Pembangunan Minda.

Jaafar juga pernah menganjurkan Seminar Pemikiran Dr. Mahathir untuk generasi muda. Dalam bidang pendidikan, beliau menjadi Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) sejak 1995, Timbalan Pengerusi GPMS Wilayah Persekutuan (sejak 2001) dan Yang Dipertua GPMS Cawangan Wangsa Maju. Jaafar bertugas di DBP selama 32 tahun. Jawatan terakhirnya sebelum bersara pada 24 November 2006 ialah Pegawai Perancang Bahasa, Bahagian Teori dan Kritikan Sastera.

Sementara itu, Pena Mutiara yang lahir pada 10 Julai 1952 menulis cerpen, puisi, skrip drama radio dan rencana. Beliau juga salah seorang tenaga penting dalam penubuhan sebuah persatuan penulis di daerah Krian pada 1972 dengan nama ringkasnya, PERENTAS yang masih aktif.

Berkelulusan Malaysia Certificate Education pada 1969, nama sebenar Pena Mutiara ialah Ahmad Sabki Haji Tahir. Kini beliau bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Wilayah Persekutuan. Banyak karya Pena Mutiara yang telah tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah terkenal tanah air serta dibukukan.

Antara bukunya ialah kumpulan cerpen Cinta Seorang Seniman (1984), Perginya Seorang Seniman (1989), Dunia Seniman (1991) dan Mangsa (2000). Kumpulan puisinya pula ialah Bunga Desa (1995) dan Perempuan (2000).

Karyanya juga dimuatkan dalam antologi Kehadiran Yang Dilupakan (1989), Surat Dari Kuala Lumpur (1990), Tina dan Lambaian Nusa (1991), Suara, Fenomena dan Hantaran (1992), Di Pelabuhan Senja (1993), Sembilu Pengorbanan dan Tanah Dusun (1994) serta Anak-Anak Suria (1997).

Setakat ini, Pena Mutiara telah memenangi Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (1989, 1990, 1991 dan 1993). Beliau juga diberikan Anugerah Penyair Perak pada 1995. Pada 2003, Paduka Seri Sultan Perak menganugerahi beliau Pingat Jasa Kebaktian.

Pena Mutiara mula menulis pada akhir 60-an. Mungkin faktor beliau terus berkarya ialah prinsipnya dalam dunia penulisan, iaitu menganggap menulis sebagai amanah Allah.

Menurut Pena Mutiara, beliau bersyukur kerana dianugerahi Allah bakat menulis. Beliau telah memanfaatkan sebaik mungkin bakat tersebut dengan menjadikan bidang penulisan sebagai wadah untuk mendidik bangsa dan membina negara.

“Sibuk menyempurnakan kerja hakiki tidak harus dijadikan batasan untuk seseorang penulis berkarya. Saya juga sibuk dengan tugas harian di pejabat. Tapi, masih ada masa untuk menulis,” tegasnya yang telah menunaikan ibadat haji pada 2005. Beliau menganggap peranan penulis pada zaman sains dan teknologi maklumat hari ini amat berat serta mencabar berbanding masa lalu.

“Penulis hari ini bukan saja perlu menggunakan kemudahan teknologi maklumat dengan sebaik mungkin, malah menjadikan bidang penulisan sebagai wadah berdakwah demi kebaikan, kesejahteraan dan kebahagiaan. Hasil karya penulis harus jelas dan mudah difahami pembaca,” tegas Pena Mutiara lagi.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi atau nama sebenarnya, Haji Azman Ahmad pula dilahirkan pada 21 Januari 1974. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian Bahasa dan Kesusasteraan Arab dari Universiti Mu’tah, Jordan ini bertugas di DBP sejak 2001.

Ibnu Ahmad menulis karya kreatif dan deskriptif. Beliau mulai menggilap bakatnya selepas menerima bimbingan Zaharah Nawawi menerusi Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) pada 2004.

Setakat ini, karya kreatif Ibnu Ahmad tersiar dalam Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Masyarakat, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Dewan Agama dan Falsafah, Pelita Bahasa dan Tunas Cipta.

“Cerpen saya, ‘Memintas al-Qadar’ turut dimuatkan dalam antologi Di bawah Kerdip Lampu di atas Pentas Itu, pemenang kategori Cerpen-Puisi Kajian dan Rencana Sastera, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2004 serta antologi GEMILANG sempena Jubli Emas DBP. Novel sulung saya, Tinta Elipsis pula dalam proses penerbitan,” jelasnya.

Dalam penulisan deskriptif, Ibnu Ahmad menjadi kolumnis ruangan agama Dewan Masyarakat dan Majalah Prihatin (Yayasan Basmi Kemiskinan). Selain itu, beliau banyak menulis artikel untuk Utusan Malaysia, Dewan Budaya, Dewan Agama dan Falsafah serta Majalah I.

“Karya deskriptif saya juga pernah memenangi hadiah, iaitu tempat kedua Pertandingan Menulis Esei sempena Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni 2005,” tambah beliau yang bertugas sebagai Pegawai Perancang Bahasa, Bahagian Penyelidikan Bahasa.

Ibnu Ahmad menjelaskan bahawa beliau tergerak untuk menulis kerana terlanjur berjanji untuk berbakti dalam dunia penulisan di hadapan Datuk A. Aziz Deraman sewaktu temuduga kemasukan ke DBP pada 2001. Aziz ketika itu adalah Ketua Pengarah DBP.

“Saya gementar ketika itu. Apabila diterima bertugas sebagai pegawai kontrak di Bahagian Buku Teks, cerita rencam dan ragam oleh editor senior membuat saya cepat berfikir dan berusaha menampung kekurangan diri.

“Jati diri seorang editor DBP ketika itu amat menyedarkan saya bahawa ilmu editorial harus dicerap dengan cepat. Kemahiran berbahasa dan menulis harus dikuasai di luar kudrat. Saya dapati hanya dengan menulis, kemahiran itu akan datang!” tegasnya.

Jelas Ibnu Ahmad, artikel pertama bertajuk Pendekatan Tauhid: Pentadbiran Akan Bersih Daripada Penyelewengan dan puisi pertama, ‘Inti Munajat’ yang tersiar dalam Dewan Agama dan Falsafah telah membangkitkan semangatnya untuk terus menulis. Bukan itu sahaja kini, beliau sudah melebarkan minatnya kepada penulisan skrip TV. Karya pertamanya telah dipertontonkan kepada khalayak apabila terbitnya Sirah Anbiya di TV9, Ramadan yang lalu.

Sesungguhnya tokoh kecil ini mengagumi Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi. Baginya, ketokohan Dr. Yusof sebagai ulama, pendakwah, sasterawan dan penggiat seni amat merangsang untuk terus gigih berkarya.

Artikel ini telah ditulis oleh Raja Yusoff Ariffin ‘Sastera Lahirkan Tiga Penulis Kuala Kurau’ pada 29 November 2006. Manakala sebuah lagi artikel yang ditulis oleh Dr. Talib Samat bertajuk ‘Kebangkitan Penulis Kuala Kurau’ tersiar dalam Akhbar Mingguan Malaysia 26 November 2006

Advertisements

35 thoughts on “Penulis Kuala Kurau

  1. Assalamualaikum,

    Tahniah anak Kurau. Semoga permulaan yang baik akan sentiasa diiringi dengan rahmat Ilahi.

    Giatkan semangat, kukuhkan tekad!

  2. Waalaikum salam Dr. Hasanah,

    Terima kasih atas nasihat dan pandangan. Terima kasih kerana berkunjung ke teratak sunyi ini.

  3. Semua penulis yang lahir sebelum negara kita merdeka sedang menarik kaki sendiri kerana tua.Tangga kata pergi kubur kata mari. Itu ketentuan Allah.Aku terus menulis hingga ada orang menulis sesuatu atas kain kapanku.salam dari saya kepada kawan-kawan.

  4. saya sedang mengkaji penulis2 yang berasal dari negeri saya sendiri iaitu perak
    boleh saya dapat beberapa maklumat dari saudara..

  5. saya harap saudara boleh memberi kerjasama..
    kerana kajian ini adalah kertas kerja saya.
    salam

  6. Silakan Wardah Athirah.

    Besar tapak tangan, nyiru saya tadahkan. Jemput ke DBP.

  7. Assalammualaikum!
    Selama ini saya mengikuti tulisan saudara. Menarik sekali. Tentang penulis kelahiran Kuala Kurau seperti Jaafar Abd. Rahim dan Pena Mutiara memang saya kenali. Saya juga berasal dari Perak, iaitu Gunung Semanggol. Telah lama bermastautin di Johor, tetapi sering juga balik kerana ibu dan adik beradik semua di sana.

    Selamat berkenalan.

  8. Waalaikumsalam,
    al-Akh Shapiai, saya doakan saudara juga menurut jejak Saudara Jaafar dan Pena Mutiara. Saya dengan Pena Mutiara satu taman di KL. Moga dipertemukan Tuhan.

  9. Jamal,
    Salam ziarah dan salam ukhuwah. Walaupun saya sudah tidak lagi menetap di sana, saya tetap berbangga dengn tempat lahir.

  10. Pingback: geopractice :: Mengenali Kuala Kurau :: June :: 2009

  11. Terima kasih geopractice kerana menambah maklumat mengenai Kuala Kurau.

  12. Pada tahun 1960-an, saya pernah datang ke Kuala Kurau. Saya telahmemberi ucapan ‘mauludir rasul’ dan ‘Islam dan pembanguna masyarakat manusia’ di beberapa buah masjid, termasuk masjid Teluk Pial.
    Sering bersama saya, ialah Ustaz Haji Mat Saman Kati.

    Saya kira, saudara elok menulis banyak buku berunsur kemsyarakatan dan Islam. Tulis sebuah buku tentang pengaruh perjuangan Ustaz Abu Bakarf Al Baqir di kalangan para petani di Kuala Kurau dan seluruh kawasan Kerian. Ini penting untuk genarasi baru.
    Selamat berjuang dan keyakinan diri.

  13. I don’t know If I said it already but …I’m so glad I found this site…Keep up the good work I read a lot of blogs on a daily basis and for the most part, people lack substance but, I just wanted to make a quick comment to say GREAT blog. Thanks, 🙂

    A definite great read..Tony Brown

  14. salam ustaz,

    sy merupakan editor di salah sebuah syarikat penerbitan bumiputera. boleh sy meminta alamat emel ustaz?tujuannya tak lain tak bukan…berkisar ttg penulisan…itu sahaja..terima kasih..

  15. ustaz tahniah kerana blog yang cantik. Teruskan berkarya yang boleh meninggalkan mesej yang baik dan terkesan dikalbu.

  16. assalamualaikum…tahniah novel Punya cinta Ramadhan…
    nak komen skit yg ustaz..awat tulis bagan serai pulau pinang..salah cetak la tuh…marah org bagan serai hehehhe..

  17. Kak Zainaton, terima kasih atas kunjungan,
    Terima kasih membeli PCR juga terima kasih kerana menyokong karya saya. Komen itu akan diambil perhatian.

  18. Saya impressed dgn usaha ustaz, yg ada masa mengajar di MAA dan bertugas di DBP. Ustaz berusaha juga utk menulis cerpen dan novel. Macamana nak mengikut bengkel penulisan ni ustaz…

  19. Assalamu’alaikum Sdr Anak Kurau. Tahniah atas usaha yang baik ini. Saya juga dilahirkan Kuala Kurau, iaitu di Parit Haji Manan.Arwah ayah saya pernah berbendang di sana, berhampiran rumah seorang bomoh juga kulaan, Awang Kenit. Hanya setakat ini. Jumpa lagi, insya-Allah.

  20. Waalaikum salam Abd Bashid,
    Salam ziarah. Moga ukhuwah kita berpanjangan hendaknya. Datanglah selalu.

  21. Salam Pok Jad,
    Walaupun kita tidak sekampung, namun kita tetap bersaudara. Terima kasih atas kunjungan mesra. Jangan lupa, jika terserempak karya-karya orang Kurau ni, harap dapat berikan sedikit sokongan 🙂

  22. Saya asal dari Simpang Empat, Semanggol tapi sekarang menetap di Shah Alam. Dulu saya jarang pergi ke Kuala Kurau. Tapi sejak jambatan baru Kuala Gula – Kuala Kurau siap, selalu juga lah ke sana bila balik kampung.
    Baru pertama kali saya jumpa dan baca blog tuan. Sangat teruja membacanya dan tumpang berbangga kerana berasal dari daerah yang sama dengan tuan, daerah Kerian.
    Apa pun, terima kasih atas sumbangan penulisan tuan kepada dunia penulisan umumnys dan dunia blog khususnya. Semoga dianugerahkan kesihatan, masa dan idea untuk terus menerus menulis untuk mencerahkan pemikiran masyarakat kita.

  23. Tuan Helmi,
    Membaca catatan tuan yang bertandang ke ruang tamu rumah saya, sangat menggembirakan. Ahlan wasahlan ke teratak kecil ini.

    Saya bangga lahir di Kuala Kurau walaupun sebahagian besar usia saya dibesarkan di Pahang.

    Selamat membaca karya-karya saya. Pastinya anak Kuala Kurau ada harga yang istimewa. Saya boleh poskan jika mahu.

    al-Kurauwi.

  24. TarmiziHamid

    Tahniah dan berbangga dgn tuan dianugerahkan Allah bijak menulis, Teruskan anak Kuala Kurau, Tumpah darah saya sekampong dgn Pena Mutiara, adeknya kakak angkat saya. Minat menulis tapi separuh jalan, Mungkin ditakdirkan utk memakmurkan dunia ini dengan jalan lain.
    Now di Ipoh di Jabatan Kerajaan.
    Email :pkewiph@lth.gov.my
    FB : tarmizihamid44@yahoo.com

    Datang Ipoh singgah Pejabat jamu nasi Mandy- Wassalam.

  25. Dear Al Kurauwi.

    Bagaimana atau boleh saya dapatkan cerpen titipan di mingguan Malaysia pada 21.10.2012 Tajuk : ZAM KE TANAH SUCI kerana Parit Abas tidak asing bagi saya, Ramai saudara mahu pun kawan yang tinggal disana sehingga kini.

    Terangkanlah bagaimana Al Kurauwi, sebagai koleksi saya.

    Wassalam.
    Tarmizi Hamid.

  26. Tuan Jaff, saya lahir di Kuala Kurau kemudian berpindah mengikut keluarga di sebuah tanah rancangan FELDA di Pahang

  27. Tuan,

    Saya ingin menggunakan photo Jaafar Abdul Rahim yang terdapat di website ini untuk buku baru yang akan diterbitkan. Saya akan cite webpage address ini di bahagian bibliografi buku tersebut jika diizinkan.

    Terima kasih.

  28. As salam tuan,
    Saya juga anak kelahiran Kuala Kurau, tepatnya Parit Abas. Saya cuba menghantar friend request di fb tuan, malangnya tidak diterima kerana fb tuan sudah mencapai limit maksimum.
    Saya baru berjinak-jinak dengan dunia penulisan.
    Turut bangga kerana ada anak kelahiran Kuala Kurau yang hebat dalam dunia penulisan.
    Tahniah tuan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s