SEMINAR KEBANGSAAN TULISAN JAWI

SEMINAR yang bertemakan “MEMARTABAT TULISAN JAWI KE ARAH MEMPERKAYA ILMU” akan diadakan pada 25, 26 & 27 Ogos 2008. Seminar ini akan diadakan di Hotel Grand Blue Wave, Shah Alam, Selangor.Pujian harus diberikan kepada penganjurnya iaitu, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perpustakaan Negara Malaysia, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan, JAKIM, KPM, KPTM, Alumni SITC dan Utusan Malaysia

Seminar ini bertujuan memugarkan kembali penggunaan tulisan Jawi dan penataran dan perkembangan ilmu, khususnya dalam bahasa Melayu. Dengan itu, diharapkan Tulisan Jawi dapat dimartabatkan semula seperti pada zaman keagungan nasionalisme tiga suku abad yang lalu. Seminar ini juga meletakkan subtema terjemahan kerana ia berkait rapat dengan asal-usul tulisan Jawi yang datang dari bahasa Arab, dan melihat bagaimana para penterjemah silam memindah ilmu-ilmu dari bahasa Arab ke bahasa Melayu dalam bentuk tulisan yang sama tetapi berbeza bahasanya.

Pencinta tulisan Jawi sangat dialukan kehadiran anlian – al-Kurauwi

 

APRESIASI JAWI DI JOM KE DBP

CATATAN ini sememangnya terlalu lewat diposkan. Lewat hanya pada entri, tetapi tidak lewat berkongsi keseronokan menjayakannya. Program Apresiasi jawi ini memenuhi program Jom ke DBP sempena sambutan ulangtahun ke-52 Dewan Bahasa dan Pustaka telah dijayakan pada 21 Jun yang lalu.

Aktiviti Teka Kata jawi, Mengeja Jawi, Mewarna Tulisan jawi dan Transliterasi Jawi, yang juga untuk dewasa memenuhi ‘apresiasi’ Jawi tersebut. Tahniah kepada pegawai-pegawai di Bahagian Penyelidikan Bahasa dan Bahagian Agama, Falsafah dan Tamadun Islam yang bertungkus-lumus merealisasikan dalam waktu yang begitu singkat dan kekangan belanja yang sedikit. – al-Kurauwi

 

SIRI TERAKHIR AJTSA DI UMM

akhbar

Cerpen ‘Al-Kisah Jabal Thur Si Ayah’, yang mengangkat isu ‘Nakbah Palestin’ di akhbar Utusan Melayu Mingguan berakhir hari ini, setelah tiga minggu disiarkan. Ramaikah yang berani membacanya?

Bagi yang minat untuk menulis hantarkan beserta gambar ukuran pasport kepada Ruangan Cerpen, Utusan Melayu Mingguan, 46M, Jalan Lima Off Jalan Chan Sow Lin, 55200 Kuala Lumpur atau e-mel ke jawi55@yahoo.com. Sebaik-baiknya kirimkan dalam tulisan Jawi – al-Kurauwi

 

APRESIASI JAWI (2)

LAPORAN PERTANDINGAN APRESIASI JAWI 07

Secara keseluruhan, pantun, cerpen dan esei yang diketengahkan untuk Pertandingan Apresiasi Jawi 07, memenuhi pensyaratan (syarat umum pantun, cerpen dan esei) yang telah ditetapkan.

Oleh sebab pertandingan ini memberi tumpuan kepada tulisan Jawi, maka pihak juri telah memberikan pembahagian markah kepada 60:40. 60 tulisan Jawi dan 40 lagi memberi fokus kepada aspek dan seni kepengarangan.  

Setelah meneliti 1174 penyertaan dalam pelbagai kategori (Pantun kanak-kanak : 272, Cerpen remaja dan IPT : 387, Esei : 231) panel hakim mendapati kebanyakan peserta:

Tidak menggunakan sistem ejaan Jawi yang disempurnakan.
Ramai peserta yang boleh menulis tetapi tidak ramai yang tahu adakah tulisannya itu menepati sistem ejaan Jawi yang betul dan tepat. Antara kesalahan ketara dalam penulisan mereka ialah dari aspek seperti berikut:

a.Perlambangan bunyi atau fonem
b.Penggunaan huruf alif dan hamzah yang melibatkan perlambangan vokal, konsonan dan diftong.
c.Penggunaan kata terbitan seperti awalan, akhiran, sisipan dan apitan.
d.Kata serapan Arab dan Inggeris.
e.Tidak merujuk kepada Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi- Jawi
f.Tidak mengikut hukum ejaan Jawi.

Tulisan tangan yang ditampilkan lemah.
Oleh sebab pertandingan ini mensyaratkan penyertaan hendaklah menggunakan tulisan tangan, maka tulisan peserta-peserta yang ditampilkan adalah lemah dan ada juga yang sukar dan tidak boleh dibaca. Dengan yang demikian, sukar bagi panel hakim memahami kandungan isi yang disampaikan.

Panel hakim diberi masa kurang 2 bulan untuk menilai. Hatta dalam kategori dewasa pun yang menang pelajar IPT. Panel tak maklum profil peserta kerana segala-galanya sulit dan tak dibekalkan. Jadi tak dapat menilai peratusan sebenar penyertaan esei dewasa, gurukah atau pelajarkah. Harap-harap dapat menjawab soalan dari saudara Hasbi. – al-Kurauwi

 

APRESIASI JAWI 2007

TAHNIAH kepada semua pemenang Pertandingan Apresiasi Jawi 2007 anjuran bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Utusan Melayu (M) Berhad yang menawarkan hadiah utama berupa pakej umrah dan ziarah ke Tanah Suci untuk dua orang. Pememnang tersebut ialah Nor Naemi Md Som dari Johor

YaPEIM telah menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM40,000 bagi empat kategori dalam pertandingan itu iaitu sekolah rendah (pantun jawi), sekolah menengah (cerpen jawi), institusi pengajian tinggi (cerpen remaja jawi) dan umum (esei jawi).

Program itu juga mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Radio Ikim.Fm, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (Japim), Kementerian Pelajaran.

Tumpang senyum dengan sedikit sumbangan untuk menjayakannya. tahniah kepada semua pemenang. Hidup Jawi, Dirgahayu Jawi! – al-Kurauwi