HIKMAH KELUPAAN IMAM

USAI SOLAT ISYAK semalam, jemaah sedikit kecoh apabila imam muda tertambah rakaat. Sebahagian jemaah kekal duduk di tahiyat akhir, sebahagian lagi termasuk jemaah yang masbuk menambah rakaat mengikut imam. Imam tua menegur. Imam tua menegur lagi. Biarpun imam muda sudah ditegur kali ketiga, dia kekal pada qiamnya menyempurnakan rakaat ke-5, kemudian menamatkannya dengan sujud sahwi.

Biarpun jemaah di perut surau tertanya-tanya, imam muda kelihatan tenang di hadapan menyempurnakan sedikit zikir dan menamatkan solat kami malam itu dengan doa. Belumpun habis bersalam-salaman dengan jemaah. Belum pun selawat sempurna segala rangkap. Imam tua menghamburkan teguran, wajahnya merah, suaranya tinggi.

“Kenapa tambah rakaat? Imam tidak dengar teguran kami?  Imam patut turun balik. Bukan solat Imam sahaja tidak sah, solat makmum yang bangun bersama imam juga tidak sah.” Wajah imam muda yang cuak bertukar warna kelat.

“Maaf, tadi saya syak bilangan rakaat. Menyangka masih tiga walaupun pada hakikatnya sudah sempurna empat rakaat. Oleh sebab itu, saya menambah satu rakaat lagi bagi menghilangkan syak itu. Maafkan saya, menyulitkan tuan-tuan dengan menambah sujud sahwi. 

“Habis, kami yang menambah rakaat ini, tidak sahlah solat kami?” Sampuk seorang jemaah. “Kami yang masbuk macam mana pula?” Sahut seorang jemaah lagi. Kumpulan jemaah semakin membesar. Batang tubuh imam muda menjadi tumpuan kami.

“Makmum yang menambah rakaat sedangkan mereka jahil bahawa yang ditambah itu ialah rakaat ke-5, maka solatnya masih sah kecuali dia tahu. Tak tahu, keliru, tidak mengapa. Bagi yang masbuk satu rakaat, tidak perlu menambah rakaat lagi.” Imam muda menghuraikan kekusutan lelaki itu. Hatinya yang hangat segera menjadi sejuk.

“Imam, patutnya mana boleh salah!” Luah imam tua, suaranya masih tinggi. Bangga dengan bisik-bisiknya memilih mufaraqah.

“Yang tidak niat mufaraqah, boleh menunggu imam pada tasyahud akhir kemudian memberi salam bersama-sama dengan imam pun boleh!” Jelas imam muda lagi.

Saya lihat wajah imam tua, kedut seribu. Entah apa yang dimarahkannya. Jarang dia keluar sebelum sempurna solat sunat ba’diah. Masih ada rungut yang terkunyah di mulutnya. Saya sempat hulurkan Kitab “Masalah Imam dan Makmum” yang disusun oleh Yusof Zaki Yaakob ke tangannya. “Cuba ulang baca.” Bisik saya memaniskan muka. “Lagipun Imam bukanlah maksum. Hikmah kelupaan imam membuka pintu ilmu kepada makmum seperti kita.” – al-Kurauwi